ALEXANDRA LORNA
KUCHING: Empat Balai Bomba dan Penyelamat iaitu di Petra Jaya, Tabuan Jaya, Jalan Padungan dan Batu Lintang menerima bantuan keperluan makanan kering daripada Yayasan Pekema Sarawak, semalam.
Menurut Ahli Jawatankuasa Perkema Sarawak, Yusof Roy Fitri Datuk Mohd Johnny, berkata prihatin atas komitmen dan pengorbanan unit beruniform dan petugas barisan hadapan semasa berhadapan saat-saat genting wabak pandemik Covid-19, Yayasan Pekema Sarawak telah menyumbang keperluan makanan dan barang asas yang diperlukan.
“Mereka ini telah bertungkus lumus dalam mengekang penularan wabak Covid-19 dan pihak kami di Yayasan Pekema Sarawak ,di bawah naungan Pengerusi Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak, Tan Sri Abang Khalid Marzuki amat prihatin dengan situasi mereka kini.
“Oleh itu, kami telah membuat kunjungan kepada mereka semalam dan juga ke beberapa sekatan jalan raya untuk memberikan pek makanan kepada petugas tentera ,polis serta Rela,” ujarnya sambil menambah hal ini juga adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yayasan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Balai Bomba Petra Jaya, di sini semalam.
Beliau berkata seterusnya ,Pekema akan mengunjungi kawasan-kawasan yang mempunyai penduduk kurang berkemampuan dan terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kita akan memberikan bantuan asas seperti keperluan beras ,tepung dan sebagainya terutama kepada keluarga yang mempunyai masalah kesihatan dan terbatas untuk keluar rumah,” jelasnya.
Beliau berkata walaupun tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April 2020 akan menjejaskkan pemain industri seperti syarikat automatif, Pekema dari segi jualan dan stok, Pekema tetap akur akan perintah yang diumumkan oleh kerajaan.
“Ini adalah untuk kebaikan semua pihak dan kita harus memainkan peranan kita dengan mematuhi perintah ini agar kita berjaya mengekang Covid-19 daripada menular,” katanya.
Turut ditemubual, Ketua Zon Kuching Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah, berkata semasa PKP, pergerakan anggota untuk membeli makanan diluar turut terbatas dan mereka turut diarahkan untuk memasak di balai.
“Namun, bekalan beras dan sayur tetap juga dibeli di pasar.
“Justeru, dengan bantuan ini akan membantu kami, petugas kecemasan dan meringankan beban kami,” katanya.
Beliau menambah, semasa PKP ini, pihak bomba juga terus berkhidmat setiap masa dan cuti-cuti anggota telah dibekukan kecuali cuti kuarantin ataupun cuti bersebab munasabah yang telah dipertimbangkan oleh pengurusan tertinggi.
“Kami berharap tiada musibah seperti kebakaran dan kejadian yang mengorbankan nyawa berlaku sepanjang tempoh PKP ini,” katanya.