Pembangunan awal kanak-kanak Sarawak perlu saksama, sedia masa depan – Awang Tengah

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Awang Tengah dan Dato Sri Fatimah Abdullah merasmikan Konvensyen Antarabangsa Prasekolah Sarawak 2026 di Kuching, hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Pendekatan Sarawak dalam pembangunan awal kanak-kanak perlu berlandaskan prinsip utama termasuk memastikan kesaksamaan tanpa mengira lokasi geografi, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata keluasan Sarawak serta kepelbagaian lokasi tempat tinggal rakyat tidak sama sekali menentukan kualiti pembangunan awal seseorang kanak-kanak.

“Tempat tinggal seseorang kanak-kanak, pendapatan keluarganya atau jarak dari pusat bandar kita tidak seharusnya sama sekali menentukan kualiti permulaan hidup kanak-kanak itu.

“Komuniti yang berbeza mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza, namun aspirasi kita terhadap setiap kanak-kanak Sarawak mesti kekal sama tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Antarabangsa Prasekolah Sarawak 2026, di sini hari ini.

Awang Tengah, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, berkata satu lagi prinsip adalah mempersiapkan kanak-kanak untuk menghadapi masa depan yang dibentuk oleh teknologi, inovasi dan perubahan pesat. 

Beliau berkata usaha itu tidak bermakna pembelajaran akademik secara formal perlu diperkenalkan pada usia lebih awal atau kanak-kanak kecil didedahkan kepada penggunaan skrin yang lebih lama.

“Usaha itu bermakna memupuk kualiti yang akan kekal penting dalam mana-mana generasi dengan rasa ingin tahu, kreativiti, komunikasi, disiplin diri, kerjasama, daya tahan dan nilai-nilai yang murni. Teknologi akan berubah, tetapi kualiti kemanusiaan akan kekal penting,” katanya.

Beliau berkata kepelbagaian budaya dan bahasa di Sarawak merupakan antara kelebihan terbesar negeri dan kanak-kanak perlu membesar dengan memahami identiti serta asal usul masing-masing di samping menghormati budaya dan identiti orang lain.

“Pada masa sama, mereka mesti mempunyai keyakinan untuk melibatkan diri dalam masyarakat Malaysia dan dunia yang lebih luas. Kita perlu menyasarkan standard antarabangsa namun pada masa sama kekal berakar kukuh di Sarawak.

“Oleh itu, kita perlu memperkukuh penyelarasan antara kerajaan, institusi, komuniti dan sektor swasta, dengan satu matlamat bersama iaitu mencapai hasil yang lebih baik untuk anak-anak kita,” katanya. – Bernama