Institusi keluarga benteng tangani masalah sosial

Facebook
WhatsApp
DR SAFIEE....Merakam kenangan pada Majlis Penangguhan Seminar Keluarga Islam sempena Karnival Cinta Rasul Peringkat Daerah Daro Tahun 1448H/2026M di Dewan Masyarakat, Daro.

DARO: Institusi keluarga yang kukuh dan harmoni perlu terus diperkasakan sebagai asas penting dalam membantu menangani masalah sosial, khususnya yang melibatkan golongan muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, keluarga yang mempunyai hubungan baik serta komunikasi yang sihat mampu mengurangkan risiko anak-anak terjebak dalam gejala sosial seiring perkembangan teknologi masa kini.

Menurutnya, pelaksanaan Seminar Keluarga Islam merupakan antara pendekatan penting bagi membantu ibu bapa dan pasangan memahami aspek komunikasi, kasih sayang, tanggungjawab serta pengurusan konflik dalam kehidupan berkeluarga.

“Seminar sebegini diharap dapat memberi sokongan emosi khususnya kepada ahli keluarga supaya mereka dapat saling memberi semangat, perhatian dan kasih sayang ketika menghadapi masalah.

“Pada masa sama, ia dapat membentuk suasana keluarga yang harmoni dan membantu anak-anak membesar dengan nilai seperti hormat-menghormati, bertanggungjawab serta penyayang,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Sarawak, petang ini.

Terdahulu semalam, Dr Safiee menyempurnakan Majlis Penangguhan Seminar Keluarga Islam sempena Karnival Cinta Rasul Peringkat Daerah Daro Tahun 1448H/2026M di Dewan Masyarakat, Daro.

Dr Safiee berkata, komunikasi yang sihat dalam keluarga juga perlu dipupuk dengan menggalakkan ahli keluarga berbincang, saling mendengar dan menyelesaikan masalah secara bersama.

DR SAFIEE….berucap pada Majlis Penangguhan Seminar Keluarga Islam sempena Karnival Cinta Rasul Peringkat Daerah Daro Tahun 1448H/2026M di Dewan Masyarakat, Daro.

Katanya, keluarga yang dipenuhi kasih sayang dan persefahaman dapat menjadi tempat selamat untuk ahli keluarga mendapatkan ketenangan serta mengurangkan tekanan.

“Hubungan kekeluargaan juga dapat dieratkan menerusi aktiviti bersama seperti makan, beriadah dan meluangkan masa berbual antara ibu bapa dengan anak-anak.

“Dalam masa sama, keluarga yang stabil dan bahagia mampu melahirkan individu yang positif, bertanggungjawab serta mampu memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, institusi keluarga kekal penting walaupun masyarakat kini berdepan perubahan pesat akibat perkembangan teknologi dan gaya hidup moden.

Menurutnya, keretakan rumah tangga turut boleh memberi kesan kepada kehidupan sosial, terutama perkembangan anak-anak.

“Jika hubungan dalam keluarga baik, saya percaya ia dapat membantu mengurangkan risiko generasi muda terlibat dalam perkara yang tidak baik.

“Justeru, kesedaran mengenai kepentingan membina keluarga bahagia perlu terus dipupuk kerana usaha ini berpotensi membantu mengurangkan pelbagai masalah sosial dan seterusnya menyumbang kepada keharmonian serta ketenteraman awam,” ujarnya lagi.

Oleh Akun Giman