
KUCHING: Di tengah-tengah lambakan produk makanan moden dan pengaruh hidangan luar negara, seorang usahawan tempatan memilih untuk menoleh ke akar warisan bagi mengangkat semula khazanah kulinari Sarawak.
Berbekalkan minat yang mendalam terhadap makanan tradisional, Nur Izzati Sarkawi, 32, tampil dengan pendekatan berbeza apabila mengolah acar timun tradisional menggunakan gula apong, sekali gus menghasilkan produk yang kini semakin mendapat perhatian pengguna dari dalam dan luar negeri.
Menurut beliau, idea menghasilkan Acar Timun Gula Apong tercetus daripada keinginan untuk memastikan makanan tradisi nenek moyang terus dikenali dan dibanggakan, khususnya oleh generasi muda.
Namun, kejayaan itu tidak hadir dalam sekelip mata. Nur Izzati menghabiskan hampir tiga tahun melakukan pelbagai eksperimen dan penambahbaikan resipi sebelum berjaya menghasilkan Acar Timun Gula Apong yang diterima baik oleh pengguna.

Daripada hanya mencatat jualan sekitar RM300 sebulan pada peringkat awal, perniagaan tersebut kini berkembang dengan jualan yang mencecah ribuan ringgit setahun, sekali gus membuktikan potensi besar makanan tradisional Sarawak untuk terus berkembang di pasaran.
Keistimewaan produk tersebut terletak pada penggunaan gula apong, bahan tradisional yang cukup sinonim dengan masyarakat Sarawak dan sering digunakan dalam pelbagai hidangan tempatan.
Gabungan rasa manis semula jadi gula apong dengan acar timun berjaya menghasilkan kelainan yang membezakan produk tersebut daripada acar timun biasa yang terdapat di pasaran.
Inovasi itu lahir daripada usaha penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan sendiri bagi mencipta cita rasa yang unik serta menepati selera pengguna masa kini.

Bagi memastikan kualiti sentiasa terjaga, semua bahan mentah diperoleh daripada pembekal tempatan sebelum diproses di pusat pemprosesan miliknya.
Proses memasak dan pembotolan turut dilakukan sendiri dengan bantuan beberapa pekerja.
Ketika ini, pengeluaran Acar Timun Gula Apong mencecah 300 kilogram seminggu bagi memenuhi permintaan pelanggan dan rangkaian ejen di seluruh negara.
Menariknya, produk berkenaan tidak dipasarkan melalui kedai fizikal, sebaliknya dijual menerusi rangkaian ejen sah dan platform media sosial, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya perkembangan teknologi digital dalam pemasaran.
Walaupun berdepan cabaran seperti kenaikan harga bahan mentah dan ketidaktentuan kuasa beli pengguna, Nur Izzati tetap optimis serta komited meneruskan perniagaan yang dibangunkan daripada titik permulaan yang sederhana.

Sambutan pelanggan terhadap Acar Timun Gula Apong terus meningkat apabila produk tersebut diterima baik oleh pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia dan bangsa.
Selain mendapat permintaan dari seluruh Malaysia, produk itu turut menarik perhatian pelancong dari Brunei dan golongan kenamaan yang menggemari keunikan rasanya.
Dalam masa yang sama, penggunaan 100 peratus bahan mentah tempatan Sarawak bukan sahaja menjamin keaslian produk, malah membantu mewujudkan peluang ekonomi kepada pembekal kecil dan usahawan tempatan yang terlibat dalam rantaian bekalan.
Seiring perkembangan teknologi, Nur Izzati turut mengaplikasikan kecerdasan buatan (AI), pengiklanan digital serta pelbagai platform dalam talian bagi memperluaskan capaian pasaran produk tersebut.
Beliau kini menyimpan impian besar untuk melihat Acar Timun Gula Apong dikenali di peringkat antarabangsa dan menjadi antara ikon makanan Sarawak yang mampu berdiri sebaris dengan laksa Sarawak serta mi kolok.
Baginya, usaha itu bukan sekadar membina sebuah jenama, tetapi satu misi untuk memastikan warisan makanan tradisional Sarawak terus hidup, kekal relevan dan tidak hilang ditelan peredaran zaman.
Oleh Norman B