BINTULU, 22 November: Bermula dengan menjual keropok lekor keluaran pengusaha lain, sebuah perniagaan keluarga dari Mukah, ASUQA, kini menghasilkan produk sendiri menggunakan ikan segar yang diperoleh daripada nelayan tempatan.
Membawa identiti hasil laut Mukah, ASUQA menyertai Lorong Sahabat Food Fest 2026 di Esplanade Bintulu sebagai vendor yang mengetengahkan keropok lekor buatan sendiri dalam beberapa variasi kepada pengunjung.
Walaupun keropok lekor lebih sinonim dengan makanan tradisional Terengganu, ASUQA menawarkan kelainan tersendiri menerusi penggunaan hasil laut Mukah sebagai bahan utama penghasilan produknya.
Pemilik ASUQA, Dayang Suhana Awang Omar, 44, berkata perniagaan yang diusahakan bersama keluarga itu bermula pada 2017 dengan menjual keropok lekor keluaran pengusaha lain sebelum mereka mengambil keputusan menghasilkan produk sendiri.
Menurutnya, mereka pada awalnya mempelajari teknik pembuatan keropok lekor daripada pengusaha lain sebelum melakukan beberapa percubaan bagi mendapatkan resipi, rasa dan tekstur yang sesuai.

“Pada mulanya kami menjual keropok lekor orang lain, kemudian kami cuba menghasilkan sendiri. Kami belajar dan melakukan beberapa percubaan sebelum mendapat rasa serta tekstur yang kami mahukan,” katanya ketika ditemui pada Lorong Sahabat Food Fest 2026 di Esplanade Bintulu.
Beliau berkata ikan parang dan tenggiri segar yang diperoleh daripada nelayan tempatan di Mukah menjadi bahan utama penghasilan keropok lekor ASUQA.
Selain perisa asli, ASUQA turut menawarkan variasi keju dan rumpai laut bagi memenuhi cita rasa pelanggan.
Dalam pada itu, Dayang Suhana berkata perniagaannya turut menerima bantuan peralatan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), termasuk mesin pengisar ikan yang membantu memudahkan proses penyediaan bahan mentah dan penghasilan keropok lekor.
Selain keropok lekor yang telah dimasak, ASUQA turut menyediakan pilihan keropok lekor mentah untuk pelanggan yang ingin memasaknya sendiri di rumah.
Bagaimanapun, bekalan keropok lekor mentah masih terhad kepada pelanggan di sekitar Mukah dan disediakan berdasarkan tempahan berikutan kekangan masa serta tenaga kerja, memandangkan kebanyakan proses penyediaan produk masih dilakukan sendiri.


PELBAGAI bentuk dan pilihan perisa keropok lekor keluaran ASUQA menjadi antara tarikan kepada pengunjung Lorong Sahabat Food Fest 2026 di Esplanade Bintulu.
Kekurangan kemudahan pemprosesan turut menjadi cabaran dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran. Justeru, pihaknya merancang mendapatkan modal dan peralatan tambahan selain berusaha memiliki premis perniagaan sendiri pada masa hadapan.
Mengulas sambutan pelanggan, Dayang Suhana berkata produk ASUQA menerima sambutan menggalakkan di Mukah dan semakin dikenali dalam kalangan penduduk setempat.
Sebelum ini, jualan mereka lebih tertumpu di sekitar Mukah, khususnya pada hujung minggu di kawasan pantai serta menerusi penyertaan dalam acara tertentu.
Melihat penerimaan positif itu, pihaknya kini mengambil langkah memperkenalkan produk berkenaan ke daerah lain bagi meluaskan pasaran.
Menerusi penyertaan dalam pelbagai acara dan festival makanan, ASUQA berharap dapat memperkenalkan keropok lekor buatan sendiri berasaskan hasil laut Mukah kepada lebih ramai penggemar makanan di seluruh Sarawak.
Oleh Faizah Muzidi




