KUCHING, 12 November: Keputusan meninggalkan pekerjaan demi menyambung pengajian dalam bidang diminati menjadi titik perubahan kehidupan Tiara Ashfilia Chrismer Dang Tuah, 27, apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengerusi, pengiktirafan tertinggi pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills ke-28 di sini, hari ini.
Berasal dari Limbang dan berketurunan Bisaya, Tiara berkata, keputusan menyambung pengajian dalam bidang automasi di Sarawak Skills dibuat selepas menyedari bidang pengajian terdahulu bukanlah minat sebenarnya.
Sebelum itu, beliau pernah bekerja di sebuah resort sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan kembali menyambung pengajian bagi membina kerjaya dalam bidang yang diminatinya.
Katanya, keputusan tersebut mendapat sokongan penuh keluarganya, khususnya mendiang bapanya yang sentiasa menggalakkannya mengejar impian meskipun beliau kembali belajar pada usia yang dianggap agak lewat berbanding rakan sebaya.
“Mendiang bapa saya orang pertama yang menunjukkan sokongan apabila saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian. Walaupun ketika itu usia saya sudah lebih 20 tahun dan orang lain mungkin sudah bekerja atau menamatkan pengajian ijazah, beliau tetap bangga dengan saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu.
Bapanya meninggal dunia pada 2023 ketika Tiara masih mengikuti pengajian, menjadikan kejayaan yang diraih hari ini cukup bermakna buat dirinya.
Malah, beliau menyifatkan anugerah berkenaan sebagai hadiah buat arwah bapanya yang sentiasa menyokong keputusannya untuk kembali belajar dan mengejar bidang diminati.
Selepas menamatkan pengajian, Tiara kini bekerja dalam sektor minyak dan gas bersama Torr Energy di Miri, dengan hasrat untuk mengembangkan kerjayanya ke peringkat luar pesisir (offshore).
Beliau juga tidak menolak kemungkinan menyambung pengajian ke peringkat ijazah secara separuh masa sekiranya berpeluang, meskipun kini sudah bekerja dalam bidang berkenaan.
Berkongsi pesanan kepada golongan muda, Tiara berkata mereka tidak seharusnya takut mengambil risiko untuk mengejar bidang yang diminati kerana peluang mengubah hala tuju kehidupan sentiasa terbuka.
“Jangan takut untuk mengambil risiko kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Letakkan Tuhan sebagai keutamaan dalam kehidupan kerana Tuhan tidak akan membawa kamu sejauh ini hanya untuk gagal,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi





