14 hari kempen jadi medan Leonard dekati semua lapisan pengundi N. 32 Simanggang

Facebook
WhatsApp
LEONARD berkesempatan bersalam dengan penyokong sebelum proses penamaan calon di Pasar Simanggang. Foto: Adi Safarman

SIMANGGANG, 28 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.32 Simanggang, Leonard Libau Anol berazam memperhebat usaha sepanjang tempoh 14 hari berkempen bagi meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Beliau berkata, pendekatan kempen kali ini akan menyasarkan semua lapisan masyarakat dan komuniti di kawasan N.32 Simanggang, termasuk penduduk rumah panjang, taman perumahan serta masyarakat di sekitar Bandar Simanggang.

“Saya berazam masa kempen nanti saya akan berusaha dengan lebih gigih untuk memikat hati pengundi,” katanya semasa ditemui Utusan Sarawak selepas proses penamaan calon di Perpustakaan Awam Majlis Daerah Sri Aman, hari ini.

LEONARD diarak oleh penyokong GPS selepas selesai proses penamaan calon. Foto: Adi Safarman

Menurut Leornard, pendekatan lebih menyeluruh akan dilaksanakan bagi memastikan setiap kawasan mendapat perhatian, sekali gus memberi peluang kepadanya mendekati pengundi secara bersemuka.

Mengulas usaha menarik sokongan golongan muda, beliau berkata, kumpulan itu merupakan antara segmen pengundi yang perlu diberi perhatian menerusi strategi komunikasi dan pendekatan yang lebih mantap.

Katanya, penglibatan golongan belia dalam aktiviti sihat seperti sukan, permainan dan pelbagai program menarik akan menjadi antara pendekatan utama untuk mendekati mereka.

Beliau percaya pendekatan yang lebih dekat dengan kehidupan dan minat anak muda mampu mewujudkan hubungan lebih baik antara calon dengan golongan berkenaan.

Dalam pada itu, Leonard tidak menafikan saingan daripada calon lain, khususnya Calon Bebas, Wilson Entebang yang mempunyai pengalaman bertanding dalam tiga siri pilihan raya sebelum ini di peringkat DUN dan Parlimen, merupakan antara cabaran yang perlu dihadapinya.

Bagaimanapun, beliau yakin cabaran itu mampu ditangani menerusi usaha bersungguh-sungguh serta kerjasama erat bersama rakan-rakan GPS.

“Saya akan berusaha memperhebat peluang sepanjang 14 hari berkempen dan berharap dapat memenangi pilihan raya kali ini atas tiket GPS,” katanya.

Menyentuh peluang meraih sokongan di kawasan Undop yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai, Leonard berkata, latar belakangnya sebagai bekas pendidik di beberapa sekolah di kawasan itu merupakan satu kelebihan untuk mendekati masyarakat setempat.

Katanya, pengalaman pernah berkhidmat sebagai guru di Undop membolehkannya membina hubungan dengan komuniti, termasuk bekas anak murid yang kini sebahagiannya terdiri daripada golongan belia dan pengundi.

“Bekas anak-anak murid saya ini adalah golongan belia dan mereka menjadi sasaran saya. Saya amat berharap mereka akan menyokong saya dalam pilihan raya kali ini,” katanya.

Beliau berharap hubungan yang terjalin sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai pendidik dapat menjadi jambatan untuk mendekati pengundi serta mendapatkan kepercayaan masyarakat, khususnya di kawasan Undop.

Leonard turut menyeru pengundi di seluruh DUN N.32 Simanggang, terutama di kawasan Undop, agar memberikan sokongan kepada calon GPS yang menurutnya mampu membawa pembangunan dan kemajuan kepada komuniti setempat.

PRN13 dijangka menjadi medan penting buat Leonard untuk memperkenalkan pendekatan, komitmen serta hala tuju perjuangannya kepada pengundi sepanjang tempoh berkempen.

Oleh Adi Safarman

Royston terima hadiah berganda hari ini

MUKAH, 28 Nov: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.57 Tellian, Royston Valentine mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan menang tanpa