KUCHING, 12 November: Cabaran kecerdasan buatan (AI) dalam industri reka bentuk grafik dan percetakan tidak menghalang Thien Jian Hui, 22, daripada membuktikan kemahirannya apabila dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills ke-28 di sini, hari ini.
Anak kelahiran Kuching itu berkata, perkembangan penggunaan AI oleh pelanggan dan syarikat untuk menghasilkan reka bentuk poster serta bahan sublimasi memerlukan kemahiran teknikal tambahan sebelum hasil reka bentuk berkenaan boleh diteruskan ke peringkat percetakan atau pengeluaran.
Menurutnya, reka bentuk yang dihasilkan menggunakan AI lazimnya masih memerlukan proses pengesanan semula (retrace), penukaran format dan pembetulan kedudukan agar memenuhi spesifikasi pengeluaran.
“Antara cabarannya ialah penggunaan AI kerana kebanyakan pelanggan atau syarikat menggunakan teknologi itu untuk menghasilkan poster dan reka bentuk sublimasi.
“Namun, kami masih perlu mengesan semula reka bentuk tersebut, menukarnya kepada format yang betul serta membetulkan kedudukannya sebelum dicetak atau dikeluarkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Thien yang mengikuti program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang Teknologi Reka Bentuk Grafik dan Percetakan berkata, pengiktirafan itu sesuatu yang tidak pernah dijangkakannya.
Lebih membanggakan, kejayaan tersebut turut menyemarakkan hasratnya untuk kembali menyumbang kepada institusi berkenaan sebagai tenaga pengajar.
Beliau berkata, kini beliau sedang mengikuti latihan pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai persediaan untuk merealisasikan cita-citanya itu.
“Selepas menamatkan latihan ini, saya berharap dapat menyumbang semula kepada Sarawak Skills Kuching dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang reka bentuk grafik,” katanya.
Beliau berkata, pengiktirafan yang diterima turut menjadi dorongan untuk terus meningkatkan kemahiran serta berkongsi pengalaman dengan generasi pelatih akan datang.
Thien turut merakamkan penghargaan kepada tenaga pengajar Unit Reka Bentuk Grafik Sarawak Skills, termasuk Fauzi, Jacqueline, Syafiqah dan Lydia, selain keluarga serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh pengajiannya.
Oleh Afiq Sallehi





