
KOTA SAMARAHAN: Bermula dari dapur rumah dengan pelbagai percubaan tanpa henti, seorang usahawan tempatan, Hanisah Koleh, kini mencipta kejayaan membanggakan apabila produk cendol buatan sendiri resipi sendiri berjaya menembusi pasaran beberapa pasar raya di sekitar Kuching.
Perjalanan perniagaan yang bermula pada awal tahun 2026 itu kini membuahkan hasil apabila produk berkenaan bukan sahaja mendapat sambutan pelanggan, malah mula dipasarkan secara lebih meluas di rak jualan runcit.
Menurut Hanisah, kejayaan itu hadir selepas melalui pelbagai fasa percubaan, pembelajaran kendiri serta usaha berterusan memperbaiki kualiti rasa dan penyediaan produk.
“Saya bermula dari bawah, belajar sendiri melalui video dan percubaan berulang kali. Alhamdulillah, akhirnya resipi cendol buatan sendiri ini diterima pelanggan dan kini dapat dipasarkan di pasar raya,” katanya.
Beliau berkata, antara keutamaan dalam penghasilan produknya adalah memastikan tekstur cendol yang lembut, kenyal dan menepati cita rasa, selain mengekalkan keseimbangan rasa yang konsisten dalam setiap hidangan.
Penggunaan gula apong asli Sarawak serta daun pandan yang ditanam sendiri turut menjadi antara identiti utama produk tersebut, sekali gus memberikan aroma dan rasa yang lebih autentik.

Keistimewaan itu turut membantu meningkatkan keyakinan pengguna, selain membuka peluang kepada produk berkenaan untuk berada di pasaran lebih luas termasuk pasar raya terpilih.
Dalam pada itu, produk cendol berkenaan turut memperoleh pensijilan HALAL dan MESTI, yang menjadi jaminan kepada aspek kebersihan serta kualiti makanan yang dihasilkan.
Bagaimanapun, Hanisah mengakui cabaran utama yang masih dihadapi adalah memastikan bekalan bahan mentah berkualiti sentiasa mencukupi selain berdepan kenaikan harga yang tidak menentu.
“Cabaran tetap ada, tetapi saya percaya kualiti adalah keutamaan. Selagi pelanggan puas hati, saya akan terus berusaha mengekalkannya,” ujarnya.
Kini, daripada sekadar usaha kecil di dapur rumah, produk cendol buatan sendiri tersebut telah berkembang menjadi antara jenama tempatan yang mula mendapat tempat di pasaran runcit, sekali gus menjadi inspirasi kepada usahawan kecil lain untuk terus berani mencuba dan melangkah lebih jauh.
Oleh Norman B