PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan negeri ini sebagai hab aeroangkasa dan semikonduktor.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata bidang aeroangkasa kini turut diberi perhatian.
“Kerajaan Sarawak memberi fokus kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) yang menawarkan latihan dalam bidang aeroangkasa selain kejuruteraan elektrik dan teknologi automotif,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Razaili Gapor (GPS-Beting Maro)
dalam sesi jawapan lisan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Malcolm Mussen berkata kerajaan Sarawak juga sedang membangunkan Dasar Pelaburan Sarawak bertujuan membentuk strategi serta pelan tindakan.
Katanya, ia untuk meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi mempercepatkan pembangunan untuk menyokong industri berteknologi tinggi di negeri ini.
Beliau berkata kerajaan Sarawak menggalakkan kerjasama strategik dengan institusi teknikal, pusat penyelidikan dan pengajian tinggi serta industri khusus seperti semikonduktor dan aeroangkasa bagi memacu inovasi dan pembangunan teknologi.
“Sehubungan itu, kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah menyediakan Technology and Innovation Sandbox sebagai pusat uji kaji teknologi baharu
dalam pelbagai sektor.
“SDEC juga menyediakan platform melalui SDEC Technology Accelerator, Digital Village Accelerator dan
Founder’s Forge bertujuan untuk membangun dan mengkomersialkan teknologi melalui syarikat permulaan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Sarawak merupakan satu-satunya wilayah yang
menawarkan pendidikan tinggi percuma kepada semua anak
Sarawak menjelang 2026 dengan mengutamakan kursus
teknikal dan kewangan seperti kejuruteraan, perakaunan, analisis
siber dan sains komputer.
Selain itu katanya, kerajaan Sarawak telah meluluskan pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM31.8 bilion untuk industri berteknologi tinggi dalam elektrik dan elektronik, kimia dan logam hijau bagi tempoh tahun 2019 hingga 2023.
“Setakat ini, sebanyak 10 projek pelaburan tersebut telah dilaksanakan. Projek industri berteknologi tinggi yang telah dilaksanakan adalah
berjumlah RM9.3 bilion bagi lima projek dalam elektrik dan elektronik, tiga projek dalam kimia dan dua projek dalam logam hijau.
Oleh NUR AIN OTSMAN