SARATOK: Komuniti luar bandar digalakkan meneroka bidang pemprosesan makanan berasaskan sumber tempatan sebagai usaha membuka peluang baharu menjana pendapatan keluarga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, inisiatif yang diketengahkan Kina Karar AgroFarm merupakan langkah positif dalam memberi pendedahan kepada masyarakat luar bandar untuk terlibat secara langsung dalam agenda ekonomi kerajaan Sarawak.
Menurutnya, meskipun dilaksanakan pada skala kecil, program berkenaan mampu menjadi platform kepada komuniti untuk mempelajari kemahiran baharu selain mengenal pasti peluang ekonomi yang boleh dikembangkan di kawasan masing-masing.
“Ini merupakan peluang kepada mereka untuk meneroka bidang baharu bagi menambah pendapatan keluarga, di samping memanfaatkan sumber tempatan seperti buah-buahan yang berlambak ketika musim buah-buahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Latihan Sangkutan Memproses Puri Buah dan Minuman Buah Tempatan di Dewan Taman Seroja Indah, di sini, hari ini.
Friday berkata, usaha memproses lebihan hasil pertanian kepada produk bernilai tambah juga selari dengan hasrat Premier Sarawak dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperkukuh konsep ekonomi kitaran (Circular Economy) serta menjadikan bahan buangan sebagai sumber yang mempunyai nilai ekonomi.
“Syabas dan tahniah kepada semua peserta. Terima kasih kepada Jilum Makup dan Kina Karar AgroFarm atas usaha menganjurkan program yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN N.39 Krian dan Kina Karar AgroFarm Kuching, dengan Jilum Makup bertindak sebagai jurulatih.
Seramai 96 peserta yang terdiri daripada Biro Wanita di kawasan Krian mengambil bahagian dalam program tersebut, yang memberi pendedahan secara praktikal berkaitan kaedah memproses puri serta minuman berasaskan buah-buahan tempatan.
Oleh Adi Safarman




