SARIKEI: Dua rumah persendirian berhampiran Rumah Soon Ugap di Bayong telah dinaiki air kira-kira 1.6 meter.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.20 malam tadi.
“Semasa saya dan tiga anggota bomba tiba di jalan Bayong, beberapa jalan sudah dinaiki air namun dapat dilalui oleh kenderaan besar.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba dan polis terpaksa menggunakan bot aluminium untuk melalui jambatan Sungai Sarikei memandangkan air naik kira-kira 1.3 meter serta aliran deras di jambatan tersebut.
“Rumah Soon Ugap tidak terjejas, namun rumah persendirian yang berada lebih kurang 50 meter dari rumah panjang itu, sudah dinaiki air kira-kira 1.6 meter,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Beliau berkata semua penghuni rumah yang terjejas banjir menumpang sementara di Rumah Soon Ugap sementara keadaan kembali pulih.
“Pihak kami hanya mengambil maklumat dan memantau keadaan air di kawasan sekitar.
“Mereka juga dinasihati agar sentiasa berwaspada sekiranya hujan berterusan dan segera menghubungi pihak bomba atau agensi penyelamat yang lain,” katanya.
Katanya, keadaan air juga beransur surut di lokasi tersebut.
Oleh Earl Anek