PILIHAN utama kejohanan, Novak Djokovic melangkah ke pusingan kedua Terbuka AS semalam ketika dia melancarkan percubaannya untuk memenangi Grand Slam ke-18 dengan kemenangan straight-set.
Pemain nombor satu dunia itu menyingkirkan pemain yang kurang terkenal Damir Dzumhur dari Bosnia dan Herzegovina 6-1, 6-4,6-1 di Stadium Arthur Ashe yang kosong di New York.
Superstar Serbia itu hanya mengambil masa 23 minit untuk memenangi set pertama sebelum mencatat kemenangan tipis dalam set kedua dalam tempoh hampir satu jam.
Dengan Rafael Nadal dan Roger Federer tidak hadir, Djokovic ingin merapatkan jurang ke atas mereka dalam perlumbaan untuk rekod Grand Slam perseorangan lelaki sepanjang masa.
Djokovic kini mempunyai 17, di belakang Nadal, 19 dan Federer, 20.
Sebelumnya, pilihan kelima Alexander Zverev dipaksa bekerja keras sebelum melangkah ke pusingan kedua Terbuka AS berikutan perlawanan selama tiga jam dengan finalis 2017, Kevan Anderson.
Pemain Jerman itu, yang meraih gelaran Grand Slam pertamanya, memenangi set pertama selepas tie-break 7-6 (7/2) sebelum kalah set kedua 7-5 di Stadium Arthur Ashe yang kosong.
Akhirnya, pemain berusia 23 tahun itu terbukti terlalu kuat untuk pemain veteran dari Afrika Selatan, memenangi set ketiga 6-3 dan keempat 7-5.
Pemain pilihan keempat, Stefanos Tsitsipas mara ke pusingan kedua kejohanan Flushing Meadows, yang dimainkan tanpa kehadiran peminat kerana Covid-19, dengan kemenangan straight-set ke atas pemain Sepanyol, Albert Ramos-Vinolas.
Pemain dari Greece itu hanya memerlukan satu jam 38 minit untuk menyingkirkan pemain nombor 41 dunia, 6-2, 6-1, 6-1.
Tsitsipas yang berusia 22 tahun, berada di kedudukan keenam dalam ranking ATP, akan bermain menentang pemain wildcard dari Amerika, Maxime Cressy setelah dia mengalahkan pemain Slovakia, Jozef Kovalik, yang berada di kedudukan ke-123 dunia, 6-1, 2-6, 6-4, 6-4.
Pemain dari Britain, Cameron Norrie menikmati satu kemenangan paling mengagumkan pada hari pertama, bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menundukkan pemain pilihan kesembilan dari Argentina, Diego Schwartzman 3-6, 4-6, 6-2, 6-1, 7-5.
Dalam perlawanan lain acara lelaki pada hari pertama, pemain pilihan ke-12 dari Kanada, Denis Shapovalov memerlukan empat set untuk mengatasi pemain wildcard dari AS, Sebastian Korda.
Pemain kidal 21 tahun itu memenangi set pertama 6-4 sebelum kalah set kedua dengan skor yang sama. Tetapi dia bangkit untuk memenangi dua set seterusnya 6-3, 6-2.
Pemain dari Perancis, Gilles Simon menikmati kemenangan mudah ke atas Mohamed Safwat dari Mesir.
Pemain berusia 35 tahun itu menang 6-1, 6-4, 6-4.
Adrian Mannarino, juga dari Perancis, mengalahkan Lorenzo Sonego dari Itali 6-1, 6-4, 2-6, 6-3 dalam perlawanan yang berlangsung selama dua jam 41 minit. – AFP