FLEETWOOD, United Kingdom, 28 Oktober: Mikel Arteta menyifatkan kekalahan mengejut Arsenal kepada Fleetwood, pasukan divisyen keempat, dalam saingan Piala Liga sebagai “hari yang amat menyedihkan” selepas juara Liga Perdana Inggeris itu mencatatkan antara keputusan paling memalukan dalam sejarah kelab berkenaan.
Arsenal tersingkir selepas tewas 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti dalam kejutan luar biasa pusingan keempat, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam masa permainan sebenar.
Sepakan penalti Bruno Guimaraes berjaya diselamatkan penjaga gol Fleetwood, Jay Lynch, sebelum Conor Haughey menyempurnakan sepakan penentuan untuk memastikan kemenangan pasukan tuan rumah.
Gol Aaron Loupalo-Bi pada separuh masa pertama meletakkan Fleetwood di hadapan sebelum Viktor Gyokeres menyamakan kedudukan selepas rehat.
Pemain muda Arsenal berusia 16 tahun, Max Dowman, pula dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran pada penghujung perlawanan.
Arteta menerima padah kerana mengutamakan perlawanan Liga Perdana menentang Liverpool apabila keputusannya melakukan sembilan perubahan dalam kesebelasan utama memakan diri.
Pengendali Arsenal itu mengakui pasukannya tidak mempunyai alasan untuk mempertikaikan keputusan berkenaan, sambil menyifatkan kekalahan itu sebagai detik yang menyakitkan sepanjang tempoh kendaliannya.
“Pertama sekali, tahniah kepada Fleetwood kerana mara ke pusingan seterusnya. Cara mereka melakukannya menjadikan hari ini amat menyedihkan buat kami,” kata Arteta.
“Tiada apa-apa yang boleh dikritik terhadap sikap dan komitmen pemain.
“Keazaman mereka jelas kelihatan sejak awal, termasuk ketika beraksi dengan 10 pemain. Namun, kami dibolosi gol yang sangat mudah pada awalnya sehingga memberikan mereka momentum.
“Kami jelas menguasai bola, mencipta banyak peluang dan melakukan banyak percubaan. Jika mahu mengelakkan penentuan sepakan penalti, kami perlu memanfaatkan peluang tersebut. Namun, kami gagal berbuat demikian.
“Inilah bola sepak dan itulah keistimewaan pertandingan ini. Hari ini amat menyedihkan.”
Arsenal sebelum ini menyamai jumlah mata pendahulu Liga Perdana, Manchester City, selepas menewaskan Everton 2-0 pada Sabtu.
Namun, daripada meneruskan rentetan kemenangan selepas memenangi 11 daripada 13 perlawanan terdahulu, skuad kendalian Arteta pulang ke utara London dengan kekecewaan susulan kekalahan yang bakal dikenang sebagai antara detik paling gelap dalam sejarah gemilang kelab itu.
“Dari segi sikap, tiada masalah langsung. Jika tidak, saya pasti berada di sini dalam keadaan sangat marah. Saya sedih dan saya fikir kami semua sedih. Kami memikul tanggungjawab besar untuk membawa lambang kelab ini dengan cara yang terbaik,” kata Arteta.
“Jika gagal memanfaatkan peluang, kami tidak akan dapat mara ke pusingan seterusnya. Malangnya, kami tersingkir.”
“Saya masih tidak percaya”
Walaupun keputusan melayangkan kad merah kepada Dowman kerana cuba menyepak Harrison Neal dilihat agak keras, Arteta tidak berpuas hati dengan tindakan pemain berusia 16 tahun itu dan sempat menegurnya ketika pemain tengah tersebut meninggalkan padang.
“Perkara itu sudah kami bincangkan sebelum perlawanan,” kata Arteta ketika ditanya mengenai tegurannya kepada Dowman.
“Sukar untuk menilai situasi itu hanya berdasarkan rakaman kamera. Jadi, saya lebih suka menontonnya semula dengan teliti sebelum membuat penilaian.” – AFP




