Beberapa jalan utama di Bintulu ditutup Sabtu ini sempena Larian Polis Bintulu 2.0

Facebook
WhatsApp
PETA laluan larian bagi kategori 5 kilometer (km) sempena Larian Polis Bintulu Bintulu 2.0 yang berlangsung pada Sabtu ini, 31 Oktober, dan melibatkan penutupan sementara beberapa jalan utama di Bintulu.

BINTULU, 27 Oktober: Beberapa jalan utama di sekitar bandar Bintulu akan ditutup sementara pada Sabtu ini, 31 Oktober, dari 1.00 pagi hingga 8.30 pagi sempena penganjuran acara Larian Polis Bintulu 2.0 (Bintulu Cops Run 2.0).

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, penutupan itu membabitkan beberapa jalan masuk dan persimpangan yang menghubungkan laluan larian bagi kategori lima kilometer (km), 11 km dan 21 km.

Menurut kenyataan media pihak polis, acara berkenaan akan bermula dan berakhir di tapak Farley, Medan Jaya, Bintulu.

Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Kidurong, Jalan Bakeri Ting, Bulatan Bakeri Ting, Jalan Tun Ahmad Zaidi, Jambatan Tun Taib Mahmud, Jalan Kampung Jepak, Bulatan Jepak serta sebahagian laluan di Bulatan Jambatan Tun Taib Mahmud.

Sepanjang acara berlangsung, kenderaan tidak dibenarkan memasuki atau menggunakan laluan larian yang ditandakan dengan garisan merah pada peta laluan yang dikeluarkan pihak polis.

PETA laluan larian bagi kategori 11 kilometer (km) dan 21 km sempena Larian Polis Bintulu Bintulu 2.0 yang berlangsung pada Sabtu ini, 31 Oktober, dan melibatkan penutupan sementara beberapa jalan utama di Bintulu.

Nixon berkata, penutupan sementara itu bertujuan memastikan keselamatan peserta dan kelancaran acara. Pembukaan semula jalan pula tertakluk kepada keadaan keselamatan serta arahan petugas polis trafik di lokasi.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan di kawasan terlibat.

Orang ramai juga diminta mematuhi arahan petugas polis trafik serta tidak meletakkan kenderaan di laluan larian atau di kawasan yang boleh menghalang pergerakan peserta.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menerusi talian 086-318304 atau Balai Polis Trafik IPD Bintulu di talian 086-338575.

Pihak polis memohon kerjasama orang ramai bagi memastikan acara itu berjalan lancar dan keselamatan semua peserta terjamin.

Oleh Faizah Muzidi