PUTRAJAYA, 27 Oktober: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meningkatkan jumlah biasiswa kepada atlet negara daripada 99 tahun lepas kepada 110 tahun ini bagi membantu mereka melanjutkan pengajian serta menjamin prospek kerjaya selepas menamatkan kerjaya sukan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk memastikan atlet bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan, malah memiliki kelayakan akademik yang dapat meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Beliau berkata KPT turut menyediakan laluan kemasukan khas kepada atlet di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT), termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian sambil mengembangkan potensi dalam bidang sukan.
“Kita telah pun selama ini menyediakan setiap tahun lebih kurang 100 biasiswa untuk atlet-atlet kita melanjutkan pelajaran mereka.
“Tahun ini kita menaikkan lagi bilangan itu kepada 110 biasiswa untuk atlet-atlet kita bagi melanjutkan pelajaran supaya apabila mereka ini keluar daripada universiti, mereka menyumbang besar dalam bidang sukan dan menaikkan nama negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPT dan pertemuan bersama atlet yang bakal menyertai Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 di sini, hari ini.
Untuk rekod, penerima layak menikmati elaun sara hidup mengikut peringkat pengajian dengan kadar tertinggi RM6,862.50 bagi pelajar ijazah kedoktoran (PhD) setiap semester.
Bagi peringkat ijazah sarjana, elaun sara hidup ditetapkan sebanyak RM6,825 satu semester, diikuti ijazah sarjana muda RM5,325 dan diploma RM4,730.
Zambry berkata usaha memperkukuh pembangunan akademik atlet amat penting memandangkan lebih 35 peratus atlet yang mewakili negara dalam pelbagai acara sukan merupakan penuntut IPT.
Angka itu berdasarkan maklumat yang diterima daripada Majlis Sukan Negara (MSN), sekali gus membuktikan peranan besar IPT sebagai antara penyumbang utama bakat sukan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata Malaysia akan menjadi tuan rumah AUG ke-22 bermula 16 Disember ini, dengan sebanyak 19 acara sukan bakal dipertandingkan, antaranya bola sepak, sepak takraw, renang, memanah, bola tampar dan ragbi.
Beliau berkata Malaysia menjadi tuan rumah temasya berkenaan buat kali keempat, yang menghimpunkan atlet universiti dari negara anggota ASEAN.
Zambry turut berharap kontinjen negara mampu mempamerkan prestasi terbaik dan meraih kejayaan dalam temasya itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia pada peringkat serantau.
Lima universiti awam di sekitar Lembah Klang bakal menjadi antara lokasi penganjuran AUG 2026 dengan kontinjen Malaysia dianggarkan membabitkan lebih 300 atlet.
Universiti awam berkenaan ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). – Bernama





