LIMBANG, 28 Oktober: Syarikat tempatan di Sarawak berpeluang menceburi sektor pemeriksaan kenderaan dengan memohon lesen operasi selama 10 tahun yang ditawarkan Kementerian Pengangkutan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, peluang itu terbuka kepada syarikat selain PUSPAKOM, termasuk syarikat dari Sarawak dan pengusaha tempatan di Limbang yang berminat membuat pelaburan dalam sektor berkenaan.
Menurutnya, syarikat yang berminat boleh mengemukakan permohonan lesen kepada kementerian sebelum membuat pelaburan dan memulakan operasi sekiranya permohonan diluluskan.
“Kementerian Pengangkutan kini membuka peluang kepada syarikat selain PUSPAKOM, termasuk pengusaha tempatan di Sarawak, untuk memohon lesen bagi menjalankan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
“Mereka boleh memohon lesen dan membuat pelaburan, manakala lesen yang diluluskan akan membolehkan mereka beroperasi selama 10 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Limbang di tapak projek berhampiran Masjid Jannatul Firdaus, Limbang, hari ini.
Peluang itu memberi ruang kepada syarikat tempatan untuk mempertimbangkan penyertaan dalam sektor berkenaan, tertakluk kepada kelulusan lesen dan syarat yang ditetapkan kementerian.
Oleh Adeng Edrus




