Allegri digantung dua perlawanan Serie A susulan kad merah

Facebook
WhatsApp
JURULATIH Napoli dari Itali, Massimiliano Allegri, memberikan reaksi ketika perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara UEFA – pusingan pertama, perlawanan ketiga antara Napoli dengan Bodo/Glimt di Stadium Diego Armando Maradona, Naples, pada 20 Oktober 2026. Foto AFP

ROM, Itali, 28 Oktober: Jurulatih Napoli, Massimiliano Allegri, digantung daripada mengendalikan pasukannya dalam dua perlawanan Serie A dan didenda pada Selasa susulan kad merah yang diterimanya ketika pasukannya seri 3-3 dengan Roma pada hujung minggu lalu.

Beliau akan terlepas perlawanan menentang Monza pada Rabu dan kunjungan ke gelanggang Juventus pada Ahad.

Napoli menerusi satu kenyataan di laman web rasminya memaklumkan bahawa kelab itu akan mengemukakan rayuan, namun Allegri berkata beliau tidak akan berbuat demikian.

“Saya memutuskan untuk tidak merayu kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Daripada penggantungan dua perlawanan, saya mungkin dikenakan penggantungan empat perlawanan,” katanya.

“Perkara yang paling mengecewakan saya, lebih daripada penggantungan ini, ialah kami gagal memperoleh tiga mata walaupun beraksi dengan baik,” katanya.

“Memang mengecewakan, tetapi saya tidak akan berada di bangku simpanan pada Selasa atau di Turin untuk menentang Juventus,” katanya.

“Bagaimanapun, sesiapa sahaja yang berada di bangku simpanan pasti akan melakukan tugas dengan lebih baik daripada saya,” kata Allegri, yang menerima kritikan sejak menyertai kelab di Naples itu pada musim panas lalu.

Allegri hilang sabar terhadap pegawai perlawanan selepas Roma menyamakan kedudukan pada minit ke-89 dalam aksi Sabtu lalu.

Beliau dilayangkan kad merah sebelum mencampakkan jaketnya ke tanah ketika meninggalkan padang.

Dalam keputusan penggantungan itu, Liga Itali menyatakan bahawa “di bilik persalinan, beliau mengeluarkan kata-kata yang amat tidak menghormati pengadil serta menunjukkan sikap agresif terhadap seorang pegawai pasukan lawan”.

Napoli, yang muncul naib juara liga Itali musim lalu di bawah kendalian Antonio Conte, kini berada di kedudukan ke-10 Serie A, 11 mata di belakang pendahulu, Inter Milan. – AFP