DBP perluas peranan, bantu pembangunan masyarakat Gedong

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hazami Jahari ketika berucap mengenai peranan program Satu Pemimpin Satu Kampung dalam membantu pembangunan sosioekonomi, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat setempat di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong.

GEDONG, 18 Oktober: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperluas peranannya dalam pembangunan masyarakat menerusi program Satu Pemimpin Satu Kampung yang memberi tumpuan kepada aspek sosioekonomi, pendidikan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Pengarah DBP, Datuk Dr. Hazami Jahari berkata, program itu menjadi platform untuk mengenal pasti isu dan keperluan masyarakat, selain merangka penyelesaian bersama kementerian, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Menurutnya, Kampung Tengah Hulu Gedong dipilih sebagai kampung angkat beliau menerusi program berkenaan kerana kampung itu merupakan tempat kelahirannya dan beliau mahu menyumbang kembali kepada masyarakat yang membesarkannya.

“Walaupun DBP sinonim dengan soal bahasa dan sastera, memajukan kampung juga adalah tanggungjawab kami,” katanya ketika berucap pada program Satu Pemimpin Satu Kampung di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong.

Beliau berkata, program itu bukan bertujuan menggantikan usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan, sebaliknya melengkapi inisiatif sedia ada dengan membantu menangani keperluan masyarakat yang masih memerlukan perhatian.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Pengarah DBP, Datuk Dr Hazami Jahari ketika melawat pameran Dewan Bahasa dan Pustaka pada program Satu Pemimpin Satu Kampung di Gedong.

Katanya, kerjasama dengan jentera kerajaan negeri dan Persekutuan, Pejabat Daerah serta pemimpin masyarakat penting bagi memastikan bantuan dan inisiatif pembangunan dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

Hazami berkata, program berkenaan turut merangkumi pelbagai aktiviti untuk manfaat penduduk, termasuk pertandingan memancing yang menerima 180 penyertaan, pertandingan futsal, ceramah agama serta program motivasi dan persediaan akhir Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, kegiatan itu bukan sahaja tertumpu di Gedong, malah turut melibatkan kawasan sekitar termasuk Simunjan, dengan perancangan aktiviti susulan yang lebih tersusun bagi memperluas manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, DBP juga merancang meneruskan usaha berkenaan melalui program yang dapat meningkatkan minat membaca dalam kalangan penduduk, termasuk di Kampung Lubok Punggor.

Mengimbas perjalanan hidupnya, Hazami berkata, beliau meninggalkan kampung halaman untuk melanjutkan persekolahan pada 1982 sebelum berpeluang kembali menyumbang bakti kepada masyarakat setempat menerusi program berkenaan.

PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima cenderahati penghargaan daripada Pengarah DBP, Datuk Dr Hazami Jahari pada program Satu Pemimpin Satu Kampung di Gedong.

Katanya, pembangunan yang dinikmati Gedong sejak beberapa dekad lalu turut membuka lebih banyak peluang kepada anak tempatan, khususnya dalam bidang pendidikan dan pembangunan diri.

Beliau berharap program Satu Pemimpin Satu Kampung dapat diteruskan secara lebih teratur bagi memastikan keperluan masyarakat dikenal pasti dan ditangani melalui kerjasama pelbagai pihak.

Program itu turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong.

Oleh Afiq Sallehi