KUCHING, 22 November: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) terus mempergiat usaha membendung penularan penyakit rabies menerusi penganjuran Program Vaksinasi Anti-Rabies, Pelesenan dan Pemasangan Mikrocip Anjing di Dewan Masyarakat Sungai Maong.
Menurut kenyataan DBKU, program dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pemilik anjing yang mengambil peluang mendapatkan perkhidmatan vaksinasi, lesen serta pemasangan mikrocip untuk haiwan peliharaan masing-masing.
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang itu berjaya mencatatkan sebanyak 29 ekor anjing menerima vaksinasi anti-rabies, manakala 23 lesen anjing dikeluarkan dan 23 pemasangan mikrocip dilaksanakan.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan kesedaran pemilik haiwan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan haiwan peliharaan, selain memperkukuh sistem kawalan dan pemantauan terhadap populasi anjing.
Pelaksanaan vaksinasi anti-rabies amat penting bagi mengurangkan risiko penularan penyakit rabies yang boleh mengancam keselamatan haiwan dan kesihatan awam.
Selain itu, pendaftaran lesen serta pemasangan mikrocip turut membantu memudahkan proses pengenalan dan pengesanan anjing peliharaan sekiranya berlaku kehilangan atau perkara yang tidak diingini.
DBKU turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak atas kerjasama menjayakan program tersebut serta semua pemilik anjing yang memberikan sokongan dan mengambil bahagian.
Usaha seumpama itu diharap dapat diteruskan bagi membentuk komuniti yang lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan haiwan, sekali gus memastikan persekitaran bandar raya Kuching kekal sihat, bersih dan selamat untuk semua.
Oleh Adi Safarman




