Setiakawan berasaskan kepercayaan, bukan sekadar kerjasama politik – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di Petra Jaya , hari ini.

PETRA JAYA, 22 November: Semangat setiakawan dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu berteraskan kepercayaan dan persefahaman bagi memastikan kestabilan politik negeri terus dipertahankan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semangat itu bukan sahaja perlu dipraktikkan di peringkat nasional, malah mesti diterjemahkan dalam hubungan antara parti-parti politik di Sarawak.

Menurutnya, kestabilan yang dinikmati Sarawak ketika ini perlu dipelihara bagi membolehkan usaha pembangunan negeri dan negara diteruskan tanpa gangguan akibat perpecahan politik.

“Kita mempunyai konsep yang disebut sebagai setiakawan berasaskan kepercayaan. Di peringkat nasional kita mempunyai semangat itu, jadi kita mahu semangat yang sama diamalkan di peringkat negeri supaya kestabilan dapat dipertahankan.

“Jika tidak, kita mungkin kehilangan semangat setiakawan dalam usaha memastikan kestabilan yang amat diperlukan di Malaysia dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Setakat ini, tiga parti dari luar GPS iaitu Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) secara terbuka mengumumkan pendirian untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak Ke-13.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 15 November lalu berkata gabungan itu tidak berhasrat meletakkan calon di mana-mana kerusi DUN Sarawak, selaras dengan persefahaman politik antara UMNO dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

PAS pula menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 19 November mengumumkan keputusan parti itu untuk tidak meletakkan calon selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta pelbagai pertimbangan lain.

Sehari kemudian, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengesahkan parti itu tidak akan bertanding, sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bagaimanapun, keputusan Amanah itu tidak bermakna keseluruhan Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada PRN Sarawak kerana gabungan berkenaan turut dianggotai Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

DAP Sarawak sebelum ini mengesahkan hasrat bertanding di beberapa kerusi, manakala PKR sedang mengadakan rundingan pembahagian kerusi bersama DAP dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) bagi mengelakkan pertembungan sesama mereka.

Perkembangan itu turut menarik perhatian kerana Kerajaan Persekutuan ketika ini merupakan kerajaan gabungan yang dibarisi PH, BN dan GPS, selain beberapa gabungan serta parti lain termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan.

Justeru, BN dan GPS yang bekerjasama dalam pentadbiran Persekutuan mempunyai persefahaman politik tersendiri di Sarawak, sekali gus menjadikan isu kerjasama, setiakawan dan kestabilan politik antara parti antara perkara yang turut mewarnai persaingan menjelang PRN kali ini.

Oleh Shahrul Qaizat