KOTA SAMARAHAN: Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman berhasrat untuk mewujudkan taman bonsai pertama di Malaysia, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Persatuan Bonsai Sarawak dan Persatuan Bonsai Malaysia.
Katanya, beliau bercadang untuk menggabungkan taman bonsai tersebut dengan Taman Orkid yang sedia ada di Kuching.
“Kami melihat peluang untuk menjadikan bonsai sebagai sebahagian daripada taman(orkid) ini.
“DBKU juga akan melakukan lawatan ke Jepun untuk melihat perkara ini, dan kami berharap dapat bekerjasama dengan persatuan-persatuan bonsai untuk menganjurkan pameran serta membangunkan taman bonsai di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Kejohanan Bonsai dan Suiseki Terbuka Sarawak di La Promanade di sini, hari ini.
Namun begitu, beliau mengakui bahawa projek taman bonsai ini masih berada di peringkat awal.
“Pelaksanaan taman bonsai bukanlah sesuatu yang mudah, bagaimanapun, DBKU bersedia menghadapi cabaran ini dan berharap dapat merealisasikannya dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang,” tambahnya.
Hilmy Othman turut menekankan bahawa usaha ini akan memberikan peluang kepada masyarakat umum untuk lebih mengenali dan mempelajari seni penanaman bonsai.
“Penggiat bonsai perlu memiliki sifat sabar dan dedikasi tinggi kerana proses penjagaan bonsai mengambil masa bertahun-tahun.
“Kami berharap penduduk Kuching akan mula menanam minat terhadap bonsai, walaupun pada skala kecil di halaman rumah masing-masing,” jelasnya.
Dalam majlis tersebut, Datuk Hilmy turut menyatakan bahawa DBKU bercadang untuk menganjurkan Festival Cahaya dan Bunga tahunan yang akan merangkumi elemen bonsai.
Acara tersebut dijangka akan diadakan di Waterfront Kuching, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Samarahan serta persatuan-persatuan bonsai tempatan dan antarabangsa.
Dengan perancangan ini, DBKU berharap usaha ini dapat memperindahkan lagi bandar Kuching serta memperkenalkan seni bonsai kepada lebih ramai orang, menjadikan Kuching sebagai destinasi utama untuk seni bonsai di Malaysia.
Oleh Shahrul Qaizat