
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menganjurkan Hari Terbuka Tapak Semaian Depo @ DBKU pada 4 Julai 2026 di Depo @ DBKU, Petra Jaya sebagai usaha memperkukuh budaya landskap hijau dan amalan berkebun dalam kalangan masyarakat bandar.
Program bermula 7.30 pagi hingga 5.00 petang itu mengalu-alukan kehadiran warga BandarayaKU serta masyarakat setempat bagi memeriahkan pelbagai aktiviti, pameran, jualan dan perkongsian ilmu berkaitan landskap serta tanaman.
DBKU memaklumkan program tahunan itu merupakan antara inisiatif berterusan pihaknya dalam mempromosikan landskap mampan, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penjagaan alam sekitar dan pengurusan tanaman yang lebih lestari.
Selain menjadi platform komuniti, program berkenaan turut membuka ruang kepada peminat tanaman, pengusaha landskap dan orang ramai mendapatkan pelbagai keperluan berkebun termasuk tanaman hiasan, baja tanah serta peralatan landskap pada harga berpatutan.
Pengunjung juga berpeluang mengikuti sesi perkongsian ilmu dan demonstrasi oleh pakar serta agensi berkaitan termasuk tips penjagaan tanaman, kaedah penghasilan baja kompos daripada sisa organik serta pendedahan mengenai potensi tanaman buluh.
Antara pengisian lain termasuk pertandingan gubahan dan hiasan bonsai, pertandingan sand art, lukisan baju serta mewarna kanak-kanak, selain taklimat dan demonstrasi tanaman buluh oleh Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (STIDC).
Turut diadakan taklimat pengurusan bonsai oleh Kejiranan Mesra (KJM), taklimat penghasilan kompos oleh Bahagian Kesihatan dan Persekitaran DBKU serta demonstrasi pengurusan tanaman oleh Bahagian Landskap DBKU.
DBKU berharap program itu dapat menggalakkan amalan landskap hijau dalam kalangan komuniti, memperkukuh hubungan masyarakat serta memberi peluang pembelajaran santai bersama keluarga.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program ini.
Oleh Adele Rissa