Dasar penggunaan tanah Sarawak pandu pembangunan mampan negeri

Facebook
WhatsApp
PENGHARGAAN...Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak Datu Jack Liam menyampaikan cenderamata kepada Awang Tengah atas kehadiran beliau.

LIMBANG: Dasar penggunaan tanah Sarawak menjadi panduan utama dalam perancangan pembangunan negeri bagi memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri terus memperkukuh pelbagai dasar dan inisiatif, termasuk memperluaskan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (Totally Protected Areas, TPA) dan Hutan Simpan Kekal (Permanent Forest Estate, PFE), melaksanakan Program Penghijauan Malaysia serta Kempen Penghijauan Sarawak (Greening Sarawak Campaign), mengamalkan pengurusan hutan secara lestari dan membangunkan inisiatif karbon hutan.

Menurutnya, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen Sarawak dalam menangani perubahan iklim serta menyokong agenda ekonomi hijau.

“Kita mempunyai dasar penggunaan tanah yang menjadi panduan dalam setiap perancangan pembangunan negeri. Dengan keluasan tanah Sarawak sekitar 12.4 juta hektar, kita telah menetapkan sasaran untuk mewartakan sekurang-kurangnya satu juta hektar sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya, dan kini kita hampir mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam Penjagaan Alam Sekitar ke Arah Pembangunan Mampan Siri 1/2026 Daerah Limbang di Dewan St Edmund, di sini, pada Isnin.

Awang Tengah, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan, Industri dan Pelaburan, berkata sehingga kini sebanyak 879,478 hektar telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), manakala 4,149,010 hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (PFE).

Beliau berkata, sebanyak 7.72 juta hektar, atau 62 peratus daripada keluasan Sarawak, masih diliputi hutan, mewakili kira-kira 42 peratus daripada keseluruhan litupan hutan di Malaysia.

Tambahnya, menerusi Program Penghijauan Malaysia dan Kempen Penghijauan Sarawak, lebih 57 juta pokok telah ditanam, sekali gus mencatat jumlah penanaman tertinggi di negara ini.

Beliau berkata, Sarawak kini muncul sebagai peneraju ekonomi rendah karbon menerusi pembangunan tenaga boleh diperbaharui berasaskan hidro, solar dan biojisim.

Menurutnya, pelaksanaan pengangkutan awam berkuasa hidrogen, teknologi Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (Carbon Capture, Utilisation and Storage, CCUS) serta pembangunan industri perdagangan karbon membuktikan bahawa pertumbuhan ekonomi mampu dicapai tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Oleh Adeng Edrus