Tidak mahu pulut panggang sekadar tinggal kenangan, anak muda 20 tahun teruskan warisan

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Nasri Daud, 20 bersama kedai Pak Teh Pulut Bersambal – bukan sekadar mencari rezeki, tetapi menghidangkan rasa yang membuat orang kembali menikmatinya.

PETRA JAYA, 10 November: Di sebalik sebungkus pulut panggang yang dibakar dan dijual setiap hari, tersimpan hasrat seorang anak muda untuk memastikan makanan tradisional yang diwarisi turun-temurun tidak semakin dilupakan ditelan perubahan zaman.

Namun, di tengah-tengah perubahan zaman dan cita rasa generasi baharu, makanan tradisional seperti pulut panggang berdepan risiko semakin dilupakan jika tiada usaha untuk meneruskannya.

PAK TEH Pulut Bersambal… Di sebalik pulut yang terhidang, ada keringat yang tidak terlihat, usaha yang tidak selalu diceritakan dan impian yang terus diperjuangkan.

Menyedari hakikat itu, seorang anak muda, Mohamad Nasri Daud, 20, mengambil langkah untuk menghidupkan kembali warisan berkenaan menerusi perniagaan Pak’Teh Pulut Bersambal yang diusahakannya di Bandar Baru Samariang.

Bagi beliau, usaha tersebut bukan sekadar mencari rezeki melalui jualan makanan, sebaliknya membawa tanggungjawab untuk memastikan sajian warisan itu terus dikenali dan dinikmati oleh generasi akan datang.

Segalanya bermula pada 19 Januari 2025 apabila beliau terdetik untuk memperkenalkan makanan tradisional kepada masyarakat, khususnya golongan muda yang dilihat semakin kurang mengenali hidangan warisan tersebut.

Katanya, kesedaran bahawa makanan tradisional semakin dilupakan menjadi dorongan untuk beliau memulakan perniagaan berkenaan.

“Pada mulanya, saya terfikir bagaimana mahu membawa makanan tradisional kita supaya lebih dikenali dalam kalangan anak muda. Saya melihat makanan tradisional semakin dilupakan masyarakat dan dari situlah timbul keinginan untuk mengusahakannya,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.

Menyedari setiap generasi mempunyai cita rasa tersendiri, Nasri turut mengambil inisiatif memperkenalkan dua pilihan inti, iaitu sambal udang dan serunding kelapa udang.

Menurutnya, inti sambal udang diperkenalkan bagi menarik minat golongan muda, manakala serunding kelapa udang pula lebih menepati cita rasa golongan berusia.

“Saya mengeluarkan inti sambal udang untuk menarik minat anak muda, manakala pilihan inti serunding kelapa udang lebih menjurus kepada citarasa orang lama”, katanya. 

Dalam penyediaan pulut panggang, beliau menggunakan santan kotak bagi memastikan rasa lemak yang lebih konsisten, selain membantu produk berkenaan tahan lebih lama.

Mengusahakan perniagaan itu sendiri, Nasri mampu menghasilkan antara 500 hingga 650 bungkus pulut panggang sehari.

Jumlah itu boleh meningkat kepada 800 hingga 1,000 bungkus sehari apabila tiba musim perayaan atau menerima tempahan bagi majlis tertentu, bergantung kepada permintaan.

Pulut panggang berinti dijual pada harga RM1.50 seunit, manakala tanpa inti berharga RM1.20 seunit.

Selain itu, terdapat juga pilihan lain seperti serunding ayam, serunding daging, serunding ikan, kari ayam dan kari daging pula dijual pada harga RM2 setiap satu.

Menurutnya, beliau juga kerap menerima tempahan daripada pihak katering sekolah serta pelanggan yang mengadakan pelbagai majlis.

Sambutan tersebut memberikan keyakinan kepadanya bahawa makanan tradisional masih mempunyai tempat di hati dalam masyarakat, sekali gus membuktikan sajian warisan tidak semestinya tenggelam ditelan arus kemodenan.

Mengakui perjalanan itu bukan tanpa cabaran, Nasri berkata perkara paling sukar adalah mengubah tanggapan bahawa makanan tradisional hanya sesuai untuk golongan lebih berusia.

Justeru, beliau mahu membawa Pak’Teh Pulut Bersambal ke arah lebih moden tanpa menghilangkan rasa tradisional yang menjadi identiti makanan berkenaan.

Baginya, kemodenan tidak seharusnya menjadi alasan untuk meninggalkan warisan, sebaliknya boleh menjadi ruang untuk memperkenalkannya dengan cara yang lebih dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Beliau berharap usahanya dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk tampil menjadi penerus kepada makanan tradisional agar warisan berkenaan tidak terhenti pada satu generasi sahaja.

“Harapan saya, anak muda juga dapat melihat bahawa makanan tradisional ini perlu ada penerusnya supaya tidak dilupakan pada zaman akan datang.

“Saya mahu teruskan usaha ini dan melihat makanan tradisional kita masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Bagi Nasri, setiap bungkus pulut panggang yang dihasilkan bukan sekadar membawa rasa, tetapi turut menyimpan harapan agar warisan yang diwarisi sejak dahulu tidak berakhir sebagai kenangan, sebaliknya terus hidup dan dinikmati oleh generasi demi generasi.

Oleh Shikin Mahmud

Pengalaman berharga melahirkan graduan hebat

KOTA SAMARAHAN, 6 November: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Ke-30 yang melabuhkan tirainya semalam menandakan permulaan lembaran baharu buat

280 permohonan STR diserahkan kepada LHDN

KUCHING: Sebanyak 280 permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) petang tadi susulan inisiatif