
KOTA SAMARAHAN: Minat mendalam dalam bidang bakeri sejak dahulu lagi menjadi pemangkin kejayaan buat Wenny Simbah, 38, seorang usahawan wanita yang kini memiliki mini bakeri di rumahnya.
Bermula 11 tahun lalu dengan perniagaan kecil-kecilan, Wenny kini dikenali ramai menerusi variasi kek dan biskut dihasilkannya.
Antara kek yang mendapat permintaan tinggi termasuk Chocolate Patty Cake, Chocolate Truffle Cake serta kek lapis Sarawak.


ANTARA kek lapis dihasilkan oleh Wenny Simbah.
“Kek lapis saya sering mendapat sambutan. Saya juga menyediakan kek lapis premium dan kek lapis ekonomi mengikut cita rasa pelanggan,” katanya.
Menurut Wenny yang juga seorang suri rumah tangga, sebagai usahawan, beliau amat memahami cabaran kos barangan yang semakin meningkat namun tetap komited memberikan terbaik untuk pelanggan.
Selain kek perayaan, beliau turut menerima tempahan untuk kek hari jadi, pertunangan dan perkahwinan. Kini, Wenny memberi tumpuan sepenuhnya kepada bahagian produksi di mini bakerinya.
Kejayaannya tidak datang dengan mudah. Sebelum ini, Wenny hanya menjual kuih-muih di tepi jalan, namun berkat usaha gigih dan sokongan padu daripada suami serta ahli keluarga lain, beliau mampu mengembangkan perniagaannya ke tahap sekarang.
“Dulu saya bermula dari bawah, dan syukur saya sudah berjaya sampai ke tahap ini,” jelasnya.
Wenny turut menyuarakan harapan untuk menubuhkan akademi bakeri miliknya sendiri suatu hari nanti, dengan niat untuk berkongsi ilmu dan melatih generasi muda dalam bidang bakeri.
Oleh Norman B