BINTULU, 21 November: Taman Tumbina Bintulu bakal menawarkan satu lagi tarikan pelancongan menerusi penganjuran Jelajah Malam Tumbina yang dirancang berlangsung secara bulanan bagi memberi peluang kepada orang ramai meneroka keunikan alam semula jadi pada waktu malam.
Program anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) itu sebelum ini hanya ditawarkan kepada pengunjung sempena Pesta Tumbina, namun kini diperkenalkan sebagai aktiviti tersendiri bagi mempelbagaikan pilihan rekreasi dan pendidikan alam semula jadi di taman berkenaan.
Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan Asghar Khan berkata, inisiatif itu bertujuan menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung, selain meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai kepelbagaian hidupan liar dan tingkah laku haiwan yang aktif pada waktu malam.
Menurutnya, Jelajah Malam Tumbina bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung menikmati suasana taman selepas matahari terbenam, malah membolehkan mereka mengenali dengan lebih dekat corak kehidupan serta penyesuaian haiwan terhadap persekitaran malam.
“Melalui Jelajah Malam Tumbina, kami mahu menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung dengan memberi peluang kepada mereka meneroka keunikan alam semula jadi Taman Tumbina dalam suasana malam.
“Pada masa sama, program ini bukan sekadar menawarkan aktiviti rekreasi, malah turut membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali kepelbagaian hidupan semula jadi, khususnya tingkah laku haiwan yang aktif pada waktu malam,” katanya.
Program itu diperkenalkan menerusi sesi pembukaan awal semalam dan berlangsung selama dua malam sehingga hari ini.

Antara pengisian menarik sepanjang penganjuran termasuk kemunculan maskot Tumi dan Beena, persembahan pemuzik jalanan serta aktiviti memberi makanan kepada buaya.
Pengunjung turut berpeluang menikmati suasana santai di kawasan Esplanade Tumbina yang menempatkan gerai jualan makanan dan minuman, sekali gus menjadikan program itu sebagai pilihan aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan-rakan.
Haidar Khan berkata, penganjuran secara bulanan diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung, termasuk masyarakat setempat dan pelancong dari luar Bintulu.
“Kami berharap Jelajah Malam Tumbina dapat menjadi satu lagi tarikan pelancongan Bintulu yang bukan sahaja menawarkan aktiviti rekreasi, malah turut meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara hidupan liar dan melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya.
Orang ramai boleh mengikuti laman Facebook rasmi Tumbina Bintulu bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual dan tarikh penganjuran program seterusnya.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen BDA untuk memperkukuh peranan Taman Tumbina sebagai taman rekreasi, pusat pendidikan alam semula jadi dan produk pelancongan yang berpotensi menyumbang kepada sektor pelancongan Bintulu.
Oleh Carolyne Utih




