Wee Jun Bin harumkan nama Malaysia menerusi kejayaan koir antarabangsa

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH…Pasukan koir Divocolis Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diwakili 20 anggota bergambar bersama Jalur Gemilang dan bendera universiti ketika menyertai International Busan Choral Festival & Competition 2026 di Busan, Korea Selatan.

SIBU, 9 November: Kejayaan anak muda dari kawasan Tamin, Wee Jun Bin, 23, mengharumkan nama Malaysia menerusi pencapaian cemerlang dalam pertandingan koir antarabangsa di Busan, Korea Selatan, mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada wakil rakyat kawasan berkenaan.

Ir Christopher Gira Sambang berkata, kejayaan Wee Jun Bin bersama pasukan koir Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Divocolis, membuktikan anak muda Sarawak berupaya menyerlah dan bersaing di pentas antarabangsa menerusi bakat serta kesungguhan yang dimiliki.

Beliau berkata, kejayaan itu amat membanggakan kerana bukan sahaja mengharumkan nama UPSI, malah turut membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Wee Jun Bin, yang merupakan anak kepada Ketua Kaum Tuai Rumah Sijah dari kawasan Tamin, kini mengikuti pengajian dalam bidang Muzik dan Bahasa Asing di UPSI.

Beliau bersama 19 lagi anggota pasukan Divocolis mewakili Malaysia dalam International Busan Choral Festival & Competition 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober lalu di Busan, Korea Selatan.

Pertandingan berprestij itu menghimpunkan lebih 50 kumpulan koir dari lebih 10 negara, termasuk Indonesia, Republik Burundi, Korea Selatan, Filipina, Malaysia, Amerika Syarikat dan Jepun, dengan Malaysia diwakili tiga pasukan.

Menerusi persembahan cemerlang, Divocolis berjaya merangkul gelaran juara, Gold Diploma Award serta hadiah wang tunai KRW5 juta dalam kategori Pop & A Cappella, selain meraih Gold Diploma Award dalam kategori Ethnic & Traditional.

Sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian membanggakan itu, Ir Christopher turut menyampaikan sumbangan wang insentif kepada Wee Jun Bin pada 11 November ketika menghadiri satu program di Rumah Siba, Ak Tulu, Sekuau.

Dalam pada itu, Dato’ Rita Sarimah Insol turut menyumbangkan elaun bagi membantu menampung kos perjalanan Wee Jun Bin menyertai pertandingan antarabangsa berkenaan.

Sementara itu, Tuai Rumah Sijah menzahirkan rasa terharu dan bersyukur atas keprihatinan serta sokongan yang diberikan kedua-dua pemimpin berkenaan dalam membantu anaknya mengembangkan bakat dan mencapai kejayaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas galakan yang diberikan, sambil berharap sokongan sedemikian dapat menyuntik semangat generasi muda, khususnya dari kawasan luar bandar, untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

Kejayaan Wee Jun Bin di pentas antarabangsa itu diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Sarawak untuk berani mengembangkan potensi diri, mengejar cita-cita dan membuktikan kemampuan mereka di peringkat global.

Oleh Tarani Lanting

Pengalaman berharga melahirkan graduan hebat

KOTA SAMARAHAN, 6 November: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Ke-30 yang melabuhkan tirainya semalam menandakan permulaan lembaran baharu buat