SKUAD Kuching City FC belum lagi mahu menyerah kalah dalam misi melayakkan diri ke Piala Malaysia musim ini.
Justeru, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim tetap bersedia melayan kujungan Perak FC II di Stadium Pasir Gudang sekali gus peluang untuk menjelmakan tiga mata penuh terus didambakan oleh pasukan yang kini menduduki tangga ketujuh.
Dengan berbaki dua perlawanan dalam tangan, pasukan The Cats memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan diri bersaing dalam kancah Piala Malaysia 2021.
Penolong Ketua Jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin menyedari laluan berliku itu dengan pasukannya kini perlu memastikan kesilapan dalam baki dua perlawanan dapat dikurangkan.
Malah, beliau mahu semua pemain fokus bagi memastikan Kuching City akan ke pentas Piala Malaysia buat kali kedua dalam sejarah penubuhannya.
“Bagi saya, pemain perlu terus memberikan fokus bagi mengharungi baki dua perlawanan dalam memastikan misi Kuching City FC layak ke saingan Piala Malaysia.
“Apa pun saya berharap kesilapan-kesilapan yang kita lakukan ketika berdepan Teerengganu FC II tidak berulang ketika berdepan lawan lain dalam usaha meraih tiga mata yang cukup berharga,” katanya.
Kuching City sudahpun terlepas kelayakan ke Liga Super musim hadapan, namun masih berpeluang melayakkan diri ke Piala Malaysia sebagai lima pasukan terbaik yang bukan pasukan simpanan di Liga Premier.
Kekalahan kepada Terengganu FC II 2-0 baru-baru ini menyebabkan skuad kendalian Irfan Bakti tidak mempunyai pilihan selain terpaksa melakar kemenangan pada baki dua perlawanan untuk memburu slot ke pentas piala berprestij itu.
Malah, kemaraan mereka turut bergantung kepada keputusan PDRM FC, Kelantan FC dan Kelantan United.
Kuching City kini berada di kedudukan ketujuh Liga Premier dengan mengumpul 24 mata setakat ini.
Oleh ADI SAFARMAN