Lelaki ditahan disyaki curi diesel lori sawit, tukar syabu sebagai bayaran

Facebook
WhatsApp
SEORANG lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian diesel daripada sebuah lori yang diletakkan di kawasan pemunggahan sawit Kampung Sessang. Foto IPD Saratok

KABONG, 20 November: Seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian diesel daripada sebuah lori yang diletakkan di kawasan pemunggahan sawit Kampung Sessang, semalam.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Henry Muji, kira-kira 12.15 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat awam ketika suspek berada di perkarangan Klinik Kesihatan Nyabor, Kabong.

Menurut beliau, kes berkenaan dilaporkan selepas pengadu, seorang pemandu lori berusia 43 tahun, mendapati minyak diesel dalam tangki lori miliknya telah hilang pada 18 November lalu.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan yang membawa muatan buah kelapa sawit telah diletakkan dalam keadaan berkunci di kawasan ramp sawit Kampung Sessang sejak 15 November kerana pengadu bercuti.

“Pengadu menganggarkan kerugian akibat kehilangan diesel berkenaan berjumlah kira-kira RM487 sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kabong,” katanya dalam saru kenyataan.

Hasil siasatan mendapati suspek mengaku memperoleh dua tong diesel daripada seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali pada 17 November lalu.

Suspek turut mendakwa urusan mendapatkan diesel itu dilakukan melalui pertukaran dengan dua tiub potongan straw berisi dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM100.

Siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai telah beberapa kali berurusan dengan lelaki berkenaan dan menggunakan dadah disyaki syabu sebagai pertukaran untuk mendapatkan bekalan diesel.

Lebih mengejutkan, suspek turut mengaku menjual semula diesel berkenaan kepada individu yang berminat pada harga RM85 bagi setiap tong berkapasiti 30 liter.

Menurut siasatan, diesel terbabit dipercayai diperoleh menerusi kegiatan mencuri daripada lori dan jentolak yang ditinggalkan di sepanjang laluan pembinaan jalan dari Roban menuju ke Kaba.

Suspek turut mendakwa sedang dalam perjalanan ke arah Jambatan Kaba untuk mendapatkan bekalan diesel daripada lelaki warga Indonesia berkenaan sebelum ditahan polis.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan, termasuk lelaki warga Indonesia yang dikenali itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan status kes diklasifikasikan sebagai selesai

Oleh Adi Safarman