PRN: Persediaan sebelum Hari Penamaan perlu diketahui oleh calon

Facebook
WhatsApp

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 mula dirasai. Borang penamaan calon sudah boleh dibeli di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak atau pejabat daerah yang berkenaan.

Bagi kebanyakan orang, urusan ini mungkin tidak begitu menarik perhatian. Perhatian mereka lebih tertumpu kepada siapa yang bakal bertanding dan parti yang diwakili.

Namun, bagi mereka yang berhasrat menawarkan diri sebagai calon, pembelian borang ialah permulaan kepada beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Ada maklumat yang mesti disemak, akuan yang perlu disahkan dan deposit yang harus disediakan. Semuanya memerlukan perhatian sebelum tiba hari penamaan calon.

Penulisan ini disediakan sebagai panduan awal untuk membantu bakal calon menyusun persediaan tersebut, sama ada bertanding atas tiket parti ataupun sebagai calon Bebas.

Tumpuannya ialah langkah yang boleh diuruskan lebih awal supaya calon, pencadang dan penyokong hadir dengan dokumen lengkap serta memahami urusan yang bakal dilalui.

Bagaimanapun, panduan ini perlu dibaca bersama arahan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pegawai Pengurus bagi kawasan yang hendak ditandingi. Sebarang keraguan hendaklah dirujuk terus kepada pihak berkenaan.

Lebih baik mendapatkan penjelasan ketika masih ada masa untuk membuat pembetulan daripada berdepan kesulitan pada pagi penamaan calon.

Langkah pertama ialah membeli set borang penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berharga RM20. Set ini mengandungi Borang 4A, Borang 5A, Borang A dan Borang SPR.766, beserta contoh pengisian.

Resit pembelian perlu disimpan, tetapi jangan dikelirukan dengan resit deposit pilihan raya. Bayaran RM20 itu hanyalah harga set borang.

Sebelum mengisi, luangkan masa membaca setiap helaian, termasuk nota kecil di bahagian bawah.

Kenal pasti ruang yang perlu dilengkapkan oleh calon, pencadang, penyokong dan saksi. Contoh pengisian pula dijadikan panduan susunan maklumat, bukannya disalin bulat-bulat kerana nama negeri, kawasan dan tarikh perlu mengikut pencalonan sendiri.

Ketahui lokasi penamaan calon

Seterusnya, pastikan tempat penamaan calon diketahui dengan tepat. Selepas writ dikeluarkan kepada Pegawai Pengurus, maklumat tempat dan masa penamaan dimaklumkan melalui Notis Pilihan Raya atau Borang 3.

Notis inilah yang perlu dirujuk oleh bakal calon. Jangan menganggap pusat penamaan semestinya di pejabat daerah atau di lokasi yang sama seperti pilihan raya terdahulu.

Nombor dan nama kawasan DUN yang ditulis pada borang juga perlu tepat sebagaimana dinyatakan dalam notis tersebut. Semak ejaan rasminya dan gunakan maklumat yang sama pada semua dokumen berkaitan. Jangan bergantung pada sebutan harian, singkatan sendiri atau maklumat daripada borang lama.

Catat alamat pusat penamaan dan maklumat untuk menghubungi pejabat Pegawai Pengurus. Bagi yang perlu melalui perjalanan jauh, persediaan pengangkutan dan penginapan elok dibuat lebih awal.

Calon juga perlu menyelaraskan pergerakan dengan pencadang dan penyokong supaya semua orang jelas tentang tempat pertemuan serta masa bertolak.

Sebelum melengkapkan pengakuan dalam borang, semak kelayakan diri. Bagi Sarawak, perkara ini melibatkan kewarganegaraan, umur minimum 18 tahun dan syarat pemastautinan negeri.

Takrif pemastautinan dalam Perlembagaan Negeri turut mengambil kira tempat kelahiran ibu atau bapa serta keadaan seseorang yang lazimnya bermastautin di Sarawak. Ia tidak wajar disimpulkan berdasarkan alamat pada kad pengenalan sahaja.

Semak juga perkara yang boleh menyebabkan hilang kelayakan. Antaranya ialah status bankrap yang belum dilepaskan, jawatan berpendapatan sebagaimana ditakrifkan undang-undang, sabitan tertentu dan kegagalan menyerahkan penyata belanja pilihan raya terdahulu.

Jika ada keraguan tentang kedudukan sendiri, dapatkan penjelasan sebelum menandatangani akuan.

Carian status kebankrapan boleh dibuat melalui portal e-Insolvensi Jabatan Insolvensi Malaysia di https://e-insolvensi.mdi.gov.my/. Pilih perkhidmatan carian status kebankrapan individu dan sediakan bayaran RM10 bagi setiap carian.

Resit pembayaran

Pastikan maklumat pengenalan dimasukkan dengan betul, kemudian simpan keputusan carian rasmi serta resit pembayaran sebagai dokumen sokongan.

Semakan ini adalah untuk mengesahkan calon, ejen calon, pencadang serta penyokong bebas daripada status muflis.

Individu yang pernah bertanding atau menjadi ejen pilihan raya perlu menyemak bukti penyerahan penyata perbelanjaan terdahulu menerusi senarai warta di https://spr.gov.my/perjalanan-pilihan-raya-warta/.

Kewujudan nama anda dan ejen calon dalam warta tersebut mengesahkan penyerahan telah dibuat (bagi pilihan raya dalam tempoh lima tahun terakhir). Sekiranya rekod tiada atau tidak jelas, sila dapatkan pengesahan dari Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemilihan pencadang dan penyokong juga perlu dibuat dengan teliti. Kedua-duanya mestilah pemilih berdaftar bagi kawasan DUN yang hendak ditandingi. Semakan boleh dibuat melalui MySPR Semakdi https://mysprsemak.spr.gov.my/semakan/daftarPemilih.

Sekali pun alamat pada kad pengenalan terletak dalam DUN atau tinggal berdekatan atau mengundi dalam kawasan Parlimen yang sama belum mencukupi jika kawasan DUN mereka berbeza.

Selepas semakan ini, lengkapkan Borang 4A yang merupakan kertas penamaan utama. Pastikan nama dan nombor kad pengenalan tepat. Borang ini turut meminta alamat, pekerjaan, butiran pencadang dan penyokong serta nama calon yang hendak dicetak pada kertas undi.

Calon menandatangani persetujuan di hadapan saksi, sementara pencadang dan penyokong menandatangani bahagian masing-masing.

Pada bahagian nama calon yang akan dicetak pada kertas undi, calon boleh memilih nama yang mudah dikenali orang ramai terutama sekiranya nama sebenar berbeza dengan nama panggilan biasa.

Bagi calon parti, dapatkan surat kebenaran menggunakan simbol parti, yang lazimnya disebut watikah. Pastikan dokumen itu mengandungi kebenaran yang diperlukan dan ditandatangani oleh pegawai parti yang berkuasa kebiasaannya presiden atau setiausaha agung parti.

Pengumuman nama calon oleh parti sahaja tidak menggantikan surat tersebut. Calon Bebas pula menyatakan status bebas pada bahagian berkaitan, dengan urusan simbol dilakukan pada hari penamaan.

Pilih ejen lebih awal

Borang SPR.766 perlu dilengkapkan dengan maklumat calon dan ejen pilihan raya, termasuk nombor telefon, alamat serta gambar ukuran pasport sebagaimana diminta. Pilih ejen lebih awal supaya maklumatnya tersedia ketika borang disediakan dan urusan dapat diselaraskan.

Ejen pilihan raya ialah orang yang dilantik secara rasmi oleh calon untuk mengurus urusan pilihan rayanya, termasuk perbelanjaan, rekod kewangan dan pelantikan petugas tertentu.

Seorang calon hanya boleh melantik seorang ejen pilihan raya, atau memilih untuk bertindak sebagai ejennya sendiri. Ejen ini boleh dipilih dalam kalangan ahli parti, rakan, atau individu yang dipercayai, asalkan memenuhi syarat undang-undang, iaitu warganegara Malaysia, berumur sekurang-kurangnya21 tahun dan tidak hilang kelayakan.

Nama serta alamat ejen tersebut hendaklah dimaklumkan secara bertulis kepada Pegawai Pengurus pada atau sebelum Hari Penamaan Calon.

Peranan ejen pilihan raya adalah berbeza daripada pencadang dan penyokong (yang menamakan calon melalui Borang 4A), serta ejen tempat mengundi atau ejen mengira undi yang menjalankan tugas khusus.

Pemilihan ejen perlu dibuat dengan teliti kerana sebarang kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh ejen boleh menjejaskan status dan kelayakan calon itu sendiri.

Seterusnya, sempurnakan Borang 5A, iaitu Akuan Berkanun mengenai kelayakan calon. Calon hendaklah hadir sendiri dengan membawa MyKad asal untuk menandatangani akuan tersebut di hadapan Pesuruhjaya Sumpah (kerajaan atau swasta yang mempunyai pelantikan sah) atau mana-mana pihak lain yang dibenarkan seperti yang dinyatakan pada borang.

Sediakan bayaran fi sebanyak RM10 bagi setiap dokumen akuan berkanun, serta tambahan RM10 bagi setiap eksibit atau lampiran yang dirujuk dalam akuan tersebut (sekiranya ada).

Walaupun Borang 5A dikecualikan daripada duti setem, pengecualian ini tidak meliputi fi perkhidmatan Pesuruhjaya Sumpah. Kadar bayaran sebenar mungkin berbeza mengikut pihak yang mengesahkan dokumen tersebut.

Perlu diingat bahawa bukan semua borang menggunakan kaedah pengesahan yang sama. Borang A ialah sumpah kerahsiaan dan menyenaraikan pihak yang dibenarkan mengambil sumpah tersebut.

Semak urusannya dengan pejabat Pegawai Pengurus. Jangan menganggap kunjungan kepada Pesuruhjaya Sumpah secara automatik menyelesaikan pengesahan semua dokumen dalam set berkenaan.

Sediakan deposit

Persediaan berikutnya ialah wang deposit. Bagi calon DUN, deposit pilihan raya ialah RM5,000, manakala deposit bahan kempen ialah RM3,000. Jumlah kedua-duanya RM8,000, berasingan daripada harga borang, fi akuan berkanun, carian kebankrapan dan perbelanjaan lain.

Untuk memudahkan urusan, deposit boleh dibayar lebih awal di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak di Kuching. Hubungi pejabat terlebih dahulu bagi memastikan waktu urusan dan kaedah pembayaran. Bagi yang jauh dari Kuching, semak kemudahan pembayaran melalui pejabat Pegawai Pengurus kawasan berkenaan.

Selepas membayar, periksa butiran pada resit dan simpan resit asal untuk dibawa pada hari penamaan. Buat salinan sebagai simpanan. Bayaran awal membantu mengurangkan urusan yang perlu diselesaikan pada pagi tersebut.

Apabila dokumen sudah lengkap, susun semuanya dalam fail berbahagi. Letakkan senarai semak di hadapan, diikuti borang penamaan, akuan berkanun, sumpah kerahsiaan, maklumat tambahan, surat kebenaran parti jika berkenaan serta borang dan resit deposit.

Dokumen sokongan dan salinan pengenalan boleh diletakkan pada bahagian berasingan. Bawa fail itu untuk semakan awal di Pejabat Pilihan Raya Negeri. Kemudahan semakan awal membolehkan kekurangan dikenal pasti ketika masih ada masa untuk membetulkannya.

Walaupun sudah disemak, penyerahan rasmi tetap perlu dilakukan mengikut masa dan tempat yang ditetapkan.

MyKad asal jangan dilupakan. Calon, pencadang dan penyokong perlu memastikan kad masing-masing tersedia untuk dibawa. Salinan dalam fail memudahkan rujukan, sementara dokumen asal disediakan untuk pemeriksaan identiti.

Persediaan pakaian juga elok diselesaikan lebih awal. Pilih pakaian yang kemas dan selesa, sama ada pakaian berlogo parti, baju Melayu, kemeja atau kot, dengan mengambil kira arahan pakaian dan akses yang dikeluarkan oleh urus setia setempat.

Selaraskan juga persediaan dengan pencadang dan penyokong supaya ketiga-tiganya hadir dalam keadaan terurus. Perkara ini sekadar cadangan penampilan, bukannya syarat kelayakan pencalonan.

Akhir sekali, hubungi pejabat Pegawai Pengurus atau pejabat daerah yang mengendalikan kawasan berkenaan tentang urusan tag atau pas masuk. Sahkan tarikh dan tempat pengambilan serta maklumat yang diperlukan.

Jika pengambilan awal ditetapkan, selesaikan sebelum hari penamaan. Tatacaranya perlu mengikut arahan setempat. Apabila semua ini dibereskan, bakal calon boleh hadir dengan persediaan yang lebih teratur.

Semak sekali lagi fail, resit asal, MyKad, tag masuk dan pakaian pada malam sebelumnya. Hasrat untuk menawarkan khidmat kepada rakyat bermula dengan kesediaan memikul tanggungjawab, termasuk mengurus perkara kecil dengan cermat sebelum nama diterima sebagai calon.

Oleh Arif Salim

Hidup senang, kembali tenang

SETIAP orang mengimpikan kehidupan yang selesa. Kita bekerja keras, mencari rezeki dan mengumpul harta demi masa depan yang lebih baik.

Bukan sekadar berilmu, tetapi beradab

ILMU merupakan anugerah yang sangat berharga dalam kehidupan manusia. Melalui ilmu, seseorang dapat membezakan antara perkara yang haq dan yang