Dakwat pada kulit, cerita dalam jiwa

Facebook
WhatsApp
SENI DAKWAT…Seorang artis tatu tekun menghasilkan corak tatu pada lengan pelanggan di studionya. Foto Norman B

KUCHING: Setiap kali jarum menyentuh kulit, bukan sekadar dakwat yang ditinggalkan. Di sebalik setiap garisan dan corak, tersimpan cerita, kenangan serta pengalaman hidup seseorang yang mahu diabadikan.

Itulah dunia yang sudah lebih sedekad menjadi sebahagian daripada perjalanan Maxen Japon, yang memilih seni tatu sebagai ruang untuk berkarya selain mengenali pelbagai kisah manusia di sebalik setiap rekaan.

Bermula sekitar 2014 hingga 2015, perjalanan Maxen dalam bidang itu tercetus daripada minat melukis sebelum rasa ingin tahu membawanya mendalami proses menghasilkan tatu.

Minat tersebut turut dipengaruhi persekitarannya, terutama apabila melihat rekaan dan tradisi tatu generasi terdahulu yang mempunyai keunikan serta nilai tersendiri.

Kini, Maxen berkarya bersama beberapa rakan artis menerusi Lunatic Tattooer, sebuah studio yang lahir daripada perkongsian minat dan usaha mereka dalam seni berkenaan.

MAXEN Japon. Foto Norman B

Menurutnya, perkara paling menarik sepanjang menjadi artis tatu bukan sekadar menghasilkan sesuatu rekaan, tetapi berpeluang mengenali pelanggan daripada pelbagai latar belakang dan mendengar cerita yang mereka bawa.

“Setiap pelanggan mempunyai cerita yang unik dan kebanyakan mereka mempunyai makna tersendiri di sebalik tatu yang diminta,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak, baru-baru ini.

Bagi Maxen, inspirasi pula tidak mempunyai sempadan apabila sesuatu rekaan boleh tercetus daripada lukisan, tatu lama mahupun imaginasi yang muncul secara spontan.

Dalam menghasilkan tatu berunsurkan tradisional, beliau berpandangan elemen yang diwarisi turun-temurun perlu dihormati dan difahami agar nilai budaya di sebalik sesuatu rekaan terus terpelihara.

Namun, di sebalik keindahan seni berkenaan, Maxen tidak mahu anak muda menganggap menjadi artis tatu sebagai jalan mudah untuk memperoleh pendapatan lumayan.

Beliau mengakui bidang tersebut boleh menjadi sumber pendapatan sampingan, namun untuk menjadikannya sebagai kerjaya, seseorang perlu benar-benar serius dan sanggup memberikan komitmen sepenuhnya.

“Kalau mahu mengejar kerjaya sebagai artis tatu, tidak boleh buat separuh jalan. Kita perlu bekerja keras dan memberikan sepenuh usaha.

SENI TATU…Seorang artis tatu tekun menghasilkan rekaan tatu pada lengan pelanggannya. Foto Norman B

“Kalau sekadar melakukannya untuk mendapatkan duit sahaja, ia tidak berbaloi. Kita perlu mendalami seni tatu supaya dapat memahami sejarah dan setiap rekaannya,” katanya.

Selepas lebih sedekad berkecimpung dalam bidang itu, Maxen turut melihat perubahan dalam penerimaan masyarakat apabila generasi muda kini semakin terbuka terhadap seni tatu berbanding generasi terdahulu.

Bagi tempoh lima tahun akan datang, beliau berharap Lunatic Tattooer dapat berkembang dengan ruang yang lebih besar, selain menjadi platform untuk memperkenalkan lebih banyak gaya dan rekaan tatu dari luar kepada masyarakat tempatan.

Menurutnya, masih terdapat pelbagai gaya dan rekaan yang belum mendapat pendedahan meluas di Sarawak dan Sabah, sekali gus membuka ruang kepada artis tempatan untuk terus belajar, meneroka serta mengembangkan seni berkenaan.

Bagi Maxen, tatu akhirnya bukan hanya mengenai dakwat yang kekal pada kulit, tetapi tentang cerita manusia yang turut hidup bersama setiap garisan yang dilakar.

Oleh Norman B