SIBU, 12 November: Kerajaan Sarawak menegaskan program pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) merupakan usaha berterusan yang dilaksanakan setiap tahun dan bukannya hanya ketika menjelang pilihan raya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf hak pemilikan tanah NCR selagi tuntutan berkenaan mempunyai bukti yang sah serta memenuhi peruntukan undang-undang.
“Ini adalah program kita yang berterusan, bukan sahaja ketika hendak menghadapi pilihan raya. Setiap tahun kita melaksanakannya dan banyak program seumpama ini sudah diadakan.
“Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf tanah NCR asalkan tuntutan itu mempunyai bukti yang betul dan sah dari segi perundangan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 & Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak dan Cek Pampasan Tanah Bahagian Sibu, petang ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II memberitahu, kerja pengukuran tanah NCR telah dilaksanakan sejak 1960-an, namun sehingga 2010 hanya kira-kira 260,000 hektar berjaya diukur.
Katanya, keadaan itu mendorong kerajaan Sarawak memperkenalkan pendekatan baharu pada 2010 bagi mempercepatkan proses pengukuran tanah adat yang berselerak di seluruh Sarawak.
Menurutnya, sejak pelaksanaan inisiatif berkenaan, lebih 1.2 juta hektar tanah NCR berjaya diukur melalui pengukuran perimeter, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara berbanding pencapaian sebelum 2010.
“Kita mahu mempercepatkan kerja pengukuran ini supaya pemilik tanah mempunyai jaminan yang jelas terhadap hak mereka.
“Sejak 2010 hingga sekarang, kita berjaya mengukur lebih 1.2 juta hektar tanah NCR, jauh lebih luas berbanding keluasan yang diukur dalam tempoh lebih 50 tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau menjelaskan, pelaksanaan program itu melibatkan dua peringkat, iaitu pengukuran perimeter yang disusuli pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak dan pengukuran lot individu bagi pengeluaran surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan pelaksanaan program berkenaan turut bergantung kepada kerjasama semua pihak, khususnya pemilik tanah dan masyarakat setempat.
Menurutnya, sebelum sebarang kerja pengukuran dilaksanakan, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak terlebih dahulu mengadakan sesi libat urus serta rundingan bersama pihak berkepentingan bagi mendapatkan persetujuan mereka.
“Kita mengadakan perundingan terlebih dahulu dan hanya melaksanakan kerja pengukuran selepas mendapat persetujuan semua pihak.
“Apabila kerja pengukuran dijalankan di lapangan, kita mahu mereka turut hadir bagi menunjukkan sempadan tanah masing-masing supaya proses itu dapat dipercepatkan,” ujarnya lagi.
Awang Tengah turut menghargai kerjasama baik yang diberikan masyarakat sepanjang pelaksanaan program berkenaan dan berharap komitmen itu dapat diteruskan bagi memastikan lebih banyak tanah NCR dapat diukur serta diberikan pengiktirafan pemilikan yang sah.
Pada majlis itu, sebanyak 167 surat hak milik tanah diserahkan kepada 158 penerima, selain pewartaan Rizab Komunal Bumiputera melibatkan lima kawasan seluas 21,942.13 hektar di Sibu dan Kanowit.
Kerajaan Sarawak turut menyerahkan pampasan tanah berjumlah RM12.69 juta kepada 165 penerima yang terlibat dalam lima projek pembangunan di Bahagian Sibu.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Penolong Pengarah Pengurusan mewakili Pengarah JTS Sarawak, Sr. Rozlan Putit, Residen Bahagian Sibu, Superi Awang Said, Penguasa JTS Bahagian Sibu, Chua Soh Kee dan Temenggung Stanley Geramong Bandar.
Oleh Akun Giman




