KUCHING: Seorang lelaki tempatan didenda RM1,500 atau dua bulan penjara dan dua tahun pengawasan polis selepas mengaku bersalah kerana terlibat penyalahgunaan dadah di Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh Muhd Aminur Syafiq Julaihi, 29, didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Farah Ibrahim.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan dadah itu ke dalam tubuh sendiri.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada 4 Julai 2012, sekitar jam 3.45 petang.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Oleh NICKELYSON LAKUN