NILAI: Impian untuk beraksi di velodrom selepas menyaksikan temasya Sukan Malaysia (Sukma) menerusi kaca televisyen beberapa tahun lalu menjadi pendorong kepada pelumba berbasikal trek Sarawak Adib Andhar Andan untuk mencipta kejayaan cemerlang dengan meraih dua pingat emas pada Sukma Selangor 2026.
Hari ini, Adib menutup penampilan keduanya di Sukma dengan penuh bergaya apabila melengkapkan koleksi dua emas selepas menjuarai acara pecut lelaki, sehari selepas menghadiahkan pingat emas sulung Sarawak dalam acara keirin lelaki di Velodrom Nasional di sini.
Selepas mempamerkan aksi cemerlang pada perlumbaan pertama, pelumba berusia 20 tahun itu sekali lagi menguasai saingan untuk meninggalkan pencabar dari Johor Ahmad Zharif Ahmad Nazri jauh di belakang bagi mengesahkan pingat emas.
Pingat gangsa pula menjadi milik pelumba Selangor Yu Jing Liang yang menewaskan wakil Negeri Sembilan Muhammad Luqman Haqim Ali Badrun 2-0.
Mengimbau detik yang mencetuskan impiannya, Adib berkata beliau ketika itu sedang menonton pertandingan Sukma bersama seorang rakan apabila buat pertama kali terlintas di fikirannya untuk beraksi di velodrom.
“Ketika itu macam teringin sangat mahu masuk velodrom sewaktu menonton sukan berbasikal trek di kaca televisyen pada edisi 2022. Saya pun beritahu kawan, best juga main di velodrom, tidak panas sangat dan Alhamdulillah, kini dapat merasainya dan menang dua emas untuk Sarawak,” katanya kepada pemberita.


Adib berkata penglibatannya dalam sukan berbasikal bukan sebahagian daripada perancangannya sejak kecil, sebaliknya beliau mula menceburi sukan itu semata-mata untuk menurunkan berat badan selepas mengalami pertambahan berat ketika pandemik COVID-19.
Anak kelahiran Kuching itu berkata beliau pada mulanya berbasikal di jalan raya sebelum bakatnya dikesan dan dipelawa menyertai sebuah kelab berbasikal, sekali gus membuka ruang untuk beliau menceburi sukan itu dengan lebih serius.
Beliau berkata impian untuk beraksi di trek hanya menjadi kenyataan apabila beliau pertama kali memasuki velodrom sekitar Februari tahun lalu bersama skuad pelapis kebangsaan.
Sebelum beralih kepada acara berbasikal trek, Adib berkata beliau pernah mengambil bahagian dalam acara berbasikal lebuh raya pada Sukma edisi lalu yang berlangsung di negeri kelahirannya Sarawak, namun gagal membawa pulang sebarang pingat.
Sementara itu, pelumba Johor Nur Alyssa Mohd Farid muncul juara acara pecut wanita selepas menewaskan wakil Selangor Yong Ann Tung 2-0, manakala pingat gangsa menjadi milik Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dari Pulau Pinang yang menundukkan pelumba Kedah Nurain Syazwienafahmi Mohd Farid 2-0.
Sukma Selangor 2026 yang bermula pada 15 Ogos akan melabuhkan tirainya esok. – Bernama





