BAU: Polis sedang menyiasat tiga kes kecurian berasingan melibatkan meter air, peralatan kilang dan sebuah komputer riba di daerah Bau, dengan seorang lelaki berjaya ditahan berhubung kes kecurian di sebuah kilang.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, kes pertama melibatkan kehilangan sebuah meter air yang dipercayai dicuri dari kebun di Jalan Chai Hon Jin, Kampung Kandis Lama, Siniawan semalam.
Beliau berkata, seorang pesara berusia 70 tahun menyedari meter air tersebut hilang ketika mengunjungi kebunnya kira-kira 8.30 pagi.
Haide berkata, pengurus syarikat menyedari kehilangan enjin bot pada 19 Ogos sebelum mendapati dua bateri lori turut hilang pada keesokan harinya, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM10,000.
“Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki mencurigakan memasuki kawasan kilang sambil membawa sebuah guni. Suspek dipercayai memasuki premis dengan memanjat pagar kerana pintu pagar automatik berada dalam keadaan berkunci,” katanya.
Polis turut merampas sebuah motosikal Honda, satu kunci motosikal dan sebuah telefon pintar Realme C15 daripada suspek.
Suspek yang mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan dadah telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Bau dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Bau selain menjalani ujian saringan air kencing.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, polis juga menyiasat kehilangan sebuah komputer riba Dell Latitude 3420 dari Bilik Komputer SK Senibong, Bau pada 12 Ogos.
Haide berkata, komputer riba berkenaan merupakan peralatan ICT secara sewa guna bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di sekolah di bawah program Kementerian Pendidikan.
“Siasatan awal mendapati bilik komputer tersebut boleh diakses oleh guru dan pelajar serta tidak dilengkapi CCTV. Setakat ini, tiada individu tertentu dikenal pasti sebagai suspek,” katanya.
Beliau berkata, polis akan merakam percakapan guru, pelajar serta individu yang mempunyai akses ke bilik komputer bagi membantu mengenal pasti suspek.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan masih dalam siasatan.




