SRI AMAN: Mahkamah Tinggi Sri Aman menjatuhkan hukuman keseluruhan 51 tahun penjara terhadap Muli Entigar, 39, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen.
Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Datuk Faridz Gohim Abdullah, memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah terkhilaf dari segi undang-undang berhubung pelaksanaan hukuman di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Mahkamah memutuskan hukuman di bawah Seksyen 16(1) hendaklah dijalankan secara berasingan daripada hukuman 15 tahun penjara di bawah Seksyen 14(a), menjadikan hukuman bagi setiap pertuduhan 17 tahun penjara.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dijalankan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan 51 tahun penjara.
Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan perbuatan seksual terhadap anak tirinya.
Hukuman dua sebatan bagi setiap pertuduhan, perintah kaunseling pemulihan serta pengawasan polis selama satu tahun selepas selesai menjalani hukuman bagi setiap pertuduhan turut dikekalkan.
Rayuan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jonathan Lim Hsi How, manakala tertuduh diwakili peguam bela YBGK, Hani Iryani.
Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) AKSTK 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Yang Arif Datuk Faridz Gohim Abdullah memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Sri Aman telah terkhilaf dari segi undang-undang dan hukuman di bawah Seksyen 16(1) AKSTK perlu dijalankan secara berasingan daripada hukuman 15 tahun penjara di bawah Seksyen 14(a) akta sama.
Oleh itu, hukuman bagi setiap pertuduhan adalah 17 tahun penjara, manakala hukuman bagi ketiga-tiga pertuduhan hendaklah dijalankan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman 51 tahun penjara.
Hukuman dua sebatan di bawah Seksyen 16(1) AKSTK 2017, perintah kaunseling pemulihan di bawah Seksyen 26(1) akta sama serta pengawasan polis selama satu tahun selepas selesai menjalani hukuman di bawah Seksyen 27(1) akta sama bagi setiap pertuduhan turut dikekalkan.
Oleh Adeng Edrus





