BINTULU: Tujuh lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan di tempat letak kenderaan hadapan sebuah kedai runcit di Bintulu yang tular baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, pihaknya mengesan satu video tular di beberapa laman sosial pada semalam yang memaparkan beberapa individu sedang bergaduh di lokasi berkenaan.
Menurutnya, tindakan segera diambil Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sebelum berjaya menahan kesemua tujuh lelaki terbabit.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berkaitan kemalangan kenderaan dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur gangsterisme,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Kesemua suspek telah ditahan reman bagi membantu siasatan dan siasatan akan disegerakan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Nixon turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan kejadian berkenaan kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan ketenteraman awam.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318804.
Oleh Faizah Muzidi




