KUALA LUMPUR: Di sebalik kemahiran menghasilkan hidangan yang enak dan menarik, Cef Imelda Harris percaya seni kulinari mempunyai nilai yang jauh lebih besar daripada sekadar memenuhi selera atau mengangkat reputasi seorang cef.
Bagi bekas peserta Masterchef Malaysia itu, beliau percaya setiap resipi sebenarnya mampu menjadi titik permulaan sebuah perniagaan kecil yang akhirnya dapat mengubah kehidupan dan taraf ekonomi sesebuah keluarga.
Berpegang pada prinsip itu, anak kelahiran Sarawak ini memilih untuk berkongsi pengalaman lebih dua dekad sebagai perunding makanan bagi memperkasa golongan wanita khususnya suri rumah, ibu tunggal dan wanita B40, agar mampu menjana pendapatan sendiri biarpun dari dapur rumah.
“Orang selalu anggap memasak ini tugas biasa sahaja, walhal sebenarnya banyak perkara besar yang kita boleh capai. Daripada resipi di dapur, kita boleh bina perniagaan, hasilkan buku hingga menjelajah ke luar negara.
“Saya mahu buka mata golongan wanita bahawa bidang kulinari mampu membawa kita pergi jauh. Kita mahu latih mereka jana pendapatan dari rumah walaupun dengan modal minimum,” katanya ketika ditemui Bernama pada majlis Anugerah Wanita Ikon Negeri 2026/2027 baru-baru ini.

Dipilih menjadi antara 26 penerima anugerah berkenaan, Imelda yang juga pakar penyelidikan dan pembangunan resipi turut melihat pengiktirafan tersebut sebagai pemangkin semangat kepadanya untuk lebih giat membantu memperkasakan suri rumah, golongan B40 dan ibu tunggal.
Menurutnya, pengalaman membimbing lebih 1,000 ahli Badan Kesejahteraan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) telah mengukuhkan lagi keyakinannya bahawa perniagaan makanan tidak semestinya memerlukan modal besar atau premis yang lengkap, sebaliknya boleh dimulakan dari ruang dapur sendiri.
“Melalui latihan perniagaan makanan berkonsepkan modal kecil ini, kita ajar asas yang praktikal. Bila seorang wanita mampu menghasilkan pendapatan sendiri, ia bukan sahaja membantu menambah pendapatan keluarga malah mengangkat martabat mereka dalam keluarga dan masyarakat,” katanya.
Selain memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi wanita, Imelda yang juga pemilik nama penuh Imelda Maya Harris ini turut merangka misi baharu untuk membantu anak-anak sekolah luar bandar khususnya di Sarawak dalam membina keyakinan diri dan berani merebut peluang pendidikan.
Sebagai bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA, beliau berkata pengalamannya sebelum ini membolehkannya untuk memahami cabaran yang dihadapi pelajar dari kawasan pedalaman apabila melangkah ke persekitaran baharu.

“Ramai anak luar bandar rasa mereka sudah cukup bagus di sekolah asal tetapi apabila masuk ke maktab atau universiti, mereka mula rasa kerdil dan berada di bawah, sebab itu,kita perlu pupuk keyakinan mereka sejak di bangku sekolah lagi.
“Peluang ini bukan sedia ada untuk ditunggu, sebaliknya kita sendiri yang kena cipta,” jelasnya.
Berpegang teguh pada nasihat, Imelda berpandangan kunci utama untuk terus ke depan adalah dengan sentiasa berfikiran positif dan berani mengambil langkah pertama.
“Tak boleh cakap ‘no’ selagi belum cuba. Sentiasa berfikiran positif dan jangan takut melangkah kerana sekiranya sesuatu cubaan itu tidak menjadi, ia bukan bermakna kita gagal selamanya,” katanya.
Anugerah Wanita Ikon Negeri 2026/2027 dianjurkan Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM) dan disokong Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), bertujuan mengangkat sumbangan wanita dalam pelbagai sektor. – Bernama





