BINTULU: Cendawan kini bukan sekadar hasil pertanian untuk dijadikan hidangan, malah diolah menjadi pelbagai produk makanan bernilai tambah bagi memperluas potensi pasaran tanaman berkenaan.
Pengasas Qmush (Quemushroom), Mohammad Zakaria Jamsari, 41, berkata perusahaan cendawan yang dimulakannya di Kuching pada 2018 kini berkembang kepada penghasilan pelbagai produk hiliran sejak 2023.
Menurutnya, antara produk yang dihasilkan termasuk keropok Crispy Mushroom Original dan Spicy, Pekasam Cendawan Tiram, Pekasam Cendawan Kuping, Sos Cendawan Thai serta Sambal Cendawan Tiram Gula Apong.
“Bagi kami, cendawan ini unik. Kalau dibandingkan dengan cili, tomato dan sayur-sayuran lain, persaingan memang banyak. Jadi kami memilih cendawan sebab persaingannya masih kurang dan pada masa sama mahu memperluaskan lagi manfaat serta potensi cendawan sebagai sumber makanan,” katanya.
Beliau berkata, antara produk terbaharu yang diperkenalkan ialah Pekasam Cendawan Tiram sedia dimakan yang dipromosikan menerusi penyertaan Qmush pada Agrofest 2026.

“Kali ini kami keluarkan pekasam cendawan tiram yang sedia dimakan. Sebelum ini kami juga mempunyai beberapa produk berasaskan cendawan dan kali ini kami memperkenalkan produk baharu,” katanya ketika ditemui di ruang pameran jualan Agrotrade pada Agrofest 2026 di sini.
Menurut Zakaria, penghasilan pekasam berasaskan cendawan memberikan kelainan berbanding produk pekasam yang lazimnya menggunakan daging atau ikan.
“Biasanya kita dengar orang menjual pekasam daging atau ikan. Kali ini di Agrofest, kita cuba promosikan produk pekasam baharu kami yang menggunakan cendawan sebagai bahan untuk produk pekasam,” katanya.
Beliau berkata, Qmush turut mempunyai pusat pemprosesan di Kuching bagi menghasilkan pelbagai produk berasaskan cendawan, selain memasarkan produknya menerusi beberapa penjual dan ejen.
Katanya, produk berkenaan turut boleh didapati menerusi platform dalam talian seperti Shopee dan TikTok, manakala maklumat mengenai cendawan serta produk Qmush boleh diperoleh menerusi Facebook dan Instagram Que Mushroom.

Dalam pada itu, Qmush turut menawarkan bongkah cendawan kepada pengunjung yang berminat untuk mencuba penanaman sendiri.
Zakaria berkata, pembeli baharu turut diberikan tunjuk ajar mengenai kaedah penjagaan dan penanaman bongkah cendawan bagi membantu mereka memulakan tanaman dengan betul.
“Kalau mereka beli bongkah cendawan tetapi tidak tahu cara hendak menjaganya, kami akan ajar. Bagi yang berminat untuk belajar menanam cendawan, kami akan berikan tunjuk ajar,” katanya.
Menurutnya, sambutan penduduk Bintulu terhadap produk cendawan yang dihasilkan juga menggalakkan, khususnya dalam kalangan mereka yang berminat mempelajari kaedah penanaman.
“Penerimaan daripada penduduk Bintulu memang menggalakkan, terutama daripada mereka yang mahu belajar cara menanam cendawan. Memang ada pasaran untuk cendawan ini,” katanya.


ZAKARIA turut berkongsi beberapa keping gambar bongkah cendawan yang diusahakannya di pusat pemprosesan Qmush yang terletak di Jalan Bukit Siol, Kuching.
Katanya, penyertaan Qmush dalam Agrofest Bintulu tahun ini merupakan kali ketiga selepas turut menyertai penganjuran sebelum ini.
Daripada penanaman cendawan yang dimulakan pada 2018, Qmush kini terus mengembangkan perusahaan berkenaan menerusi pelbagai produk hiliran, sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk hasil cendawan dipasarkan dalam bentuk yang lebih mudah dinikmati pengguna.
Oleh Faizah Muzidi





