
BETONG: Satu sesi perjumpaan khas bersama pihak Majlis Daerah Betong, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Betong akan diadakan bagi memperhalusi lagi cadangan projek tebatan banjir dan menaik taraf Jalan Kubal di sini dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, perkara itu amat penting bagi memastikan kedua-dua projek yang dicadangkan, iaitu projek menaik taraf jalan utama dan projek tebatan banjir sebelum ini dapat dimulakan secepat mungkin.
“Jalan Kubal merupakan jalan yang sudah rosak walaupun sudah dinaik taraf dalam tempoh lebih kurang 10 tahun lepas, jadi saya telah berbincang dengan Majlis Daerah Betong, JKR Betong dan juga JPS Betong dan mereka bercadang untuk menaik taraf jalan tersebut.
“Jumlah peruntukan, saya kurang pasti dan bila dilaksanakan pun kurang pasti. Saya akan berbincang dengan mereka dengan lebih lengkap lagi mengenai perkara ini. Apa yang pasti adalah ia harus dipercepatkan kerana jalan ini merupakan jalan raya utama bagi enam rumah panjang di sini,” katanya selepas merasmikan Program Segulai Sejalai Nuju Pemansang Menua Engkilili di Rumah Banta Kuyong, Kubal Batu di sini petang tadi.
Pada majlis tersebut, Johnical turut meluluskan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM150,000 kepada Rumah Banta Kuyong bagi menaik taraf prasarana rumah panjang tersebut.
Selain itu, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), biro wanita dan biro pendidikan rumah panjang tersebut turut menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM30,000.
Johnical turut menyeru masyarakat setempat di enam rumah panjang di Jalan Kubal untuk terus menyokong kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg demi pembangunan berterusan di kawasan itu pada masa akan datang.
Untuk rekod, enam rumah panjang yang berada di Jalan Kubal sepanjang kira-kira lapan kilometer itu ialah Rumah Kubal Duan, Kubal Baru Kota, Kubal Lumok, Kubal Kota, kubal Pengkalan dan Kubal Batu.
Oleh Adi Safarman