BAU: Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) adalah untuk menjadikan kawasan Bung Bratak sebagai salah satu produk pelancongan.
Ia akan dilaksanakan dengan memperkenalkan kesenian dan kebudayaan masyarakat Bidayuh melalui penganjuran Festival Bung Bratak.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, penganjuran Festival Bung Bratak, dilihat berupaya merancakkan lagi industri pelancongan di Daerah Bau khususnya di Pusat Warisan Bung Bratak.
Katanya, pelaksanaan program PMS dan penganjuran Festival Bung Bratak ini merupakan salah satu usaha baik untuk menggalakkan kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa menjelang 2026 sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia.
“Pusat Warisan Bung Bratak telah memberi kesan yang amat baik kepada industri seni, budaya dan pelancongan negeri ini, antaranya adalah konsep rumah panjang dijadikan sebagai tempat penginapan dengan kutipan hasil mencatatkan penambahan progresif setiap tahun.
“Dari Januari hingga Jun tahun ini, hasil perdapatan daripada pengunjung domestik dan asing adalah sebanyak RM35,455 iaitu jumlah diperoleh melalui kutipan yuran masuk dan penginapan di Pusat Warisan Bung Bratak.
“Dalam tempoh sama, jumlah kedatangan pelancong ke situ juga mencatat seramai 3,334 pengunjung domestik dan 90 pengunjung asing,” katanya pada majlis perasmian Festival Bung Bratak di Pusat Warisan Bung Bratak di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman.
Dalam pada itu, King Sing menyatakan bahawa Daerah Bau juga terkenal dengan hasil seni kraf seperti hasil buatan kayu, buluh, rotan, manik dan daun serdang yang berjaya menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Hal ini terbukti apabila seramai 24 orang usahawan di Bau telah bergiat aktif dalam industri kraf dan berjaya menjana pendapatan lebih RM500,000 pada tahun lepas,” katanya.
Festival Bung Bratak ini diadakan selama dua hari sejak semalam di Pusat Warisan Bung Bratak, Kampung Tembawang Sauh, di sini.
Penganjuran Festival Bung Bratak ini adalah satu usahasama antara MOTAC dan Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak serta Pejabat Daerah Bau.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti pameran pakaian tradisional, demonstrasi permainan tradisional oleh Persatuan Warisan Bung Bratak dan Persatuan Asal Singai, persembahan nyayian dan banyak lagi.
Oleh Shahrul Qaizat dan Mohd Neenatul Aizal