SANTUBONG: Industri semikonduktor Sarawak memerlukan sehingga 500 jurutera bagi menyokong perkembangan teknologi cip dan sektor bernilai tinggi di negeri ini pada masa depan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata keperluan tenaga pakar itu menunjukkan pembangunan bakat tempatan perlu dipercepatkan seiring dengan pertumbuhan industri semikonduktor.
Katanya, jumlah berkenaan jauh lebih besar berbanding 40 peserta dalam kohort semasa yang sedang mengikuti program berkaitan semikonduktor.
“Industri ini memerlukan 500 jurutera! Insan-insan seperti anda di sini… hari ini kita ada kohort 40 peserta… tetapi mereka memerlukan 500 jurutera!” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ekosistem Pembangunan Bakat Utama (Flagship) Semikonduktor Sarawak di CENTEXS Santubong, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, keperluan berkenaan turut didorong oleh perkembangan generasi baharu cip di Western Digital dan X-FAB, selain peningkatan permintaan terhadap kepakaran dalam bidang semikonduktor dan teknologi bernilai tinggi.
Menurutnya, Sarawak bukan sahaja mahu melahirkan lebih ramai jurutera semikonduktor, malah memastikan bakat tempatan mampu terlibat dalam pembangunan teknologi yang menjadi pemacu industri masa depan.
Katanya, pembangunan semikonduktor kini berkait rapat dengan sektor strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), pembuatan termaju, tenaga boleh baharu, elektronik kuasa, aeroangkasa dan teknologi satelit.
“Apabila anda mahu maju ke hadapan, anda mesti berani bermimpi,” katanya.
Abang Johari berkata, Sarawak kini berusaha beralih daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada pencipta, pemilik dan akhirnya pengeluar teknologi, termasuk dalam bidang reka bentuk cip.
Katanya, daya saing masa depan tidak hanya bergantung kepada sejauh mana teknologi digunakan, sebaliknya kepada keupayaan untuk mencipta, memiliki dan mengkomersialkannya menerusi harta intelek, produk serta aplikasi.
Dalam pada itu, beliau menyokong supaya Program Kepakaran Semikonduktor CENTEXS-SMD diperluaskan ke peringkat kebangsaan bagi memperluas pembangunan bakat dalam bidang berkenaan.
Menurutnya, kerjasama lebih erat antara kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan, institusi berkaitan, akademia dan industri penting bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor serta menyediakan lebih ramai tenaga mahir untuk memenuhi keperluan industri.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak turut meneroka pembangunan satelit Orbit Rendah Bumi (LEO) sendiri dengan sasaran melancarkan satelit CubeSat milik kerajaan Sarawak mulai 2030.
Abang Johari berkata, satelit berkenaan penting bagi memperoleh data kedaulatan yang boleh digunakan untuk merangka strategi aktiviti ekonomi masa depan.
“Begitu juga dengan generasi baharu cip di Western Digital dan X-FAB. Oleh itu, kepada anak-anak saya dan sekalian jurutera muda, teruskan usaha dan capailah impian ini,” katanya.
Oleh Shikin Mahmud





