Mimpi, Realiti dan Sebuah Meja dalam Cerpen “Suatu Petang, Secawan Teh dan Sekeping Roti Bakar”

Facebook
WhatsApp

CERPEN tidak semestinya dibina daripada peristiwa yang besar. Sesuatu yang kecil, sederhana dan mungkin dianggap remeh dalam kehidupan sehari-hari juga mampu menjadi bahan sastera jikalau pengarang tahu memberikan makna terhadap peristiwa tersebut.

Pertemuan dengan seseorang yang tidak dikenali, secawan teh yang diminum pada suatu petang atau sebuah meja di restoran boleh berkembang menjadi sebuah naratif yang menarik apabila pengarang berjaya menemukan konflik, memberikan lapisan terhadap watak serta menjadikan pengalaman biasa itu membawa makna yang luar biasa.

Dayang Mary Marlini Abang Adeni memilih pengalaman yang cukup sederhana melalui cerpennya “Suatu Petang, Secawan Teh dan Sekeping Roti Bakar”. Cerpen ini membawa pembaca ke Restoran Mastura; sebuah restoran yang sentiasa sibuk dikunjungi pelanggan. Watak “aku” merupakan seorang pekerja pejabat yang sering berkunjung ke restoran tersebut kerana lokasinya berhampiran tempat kerja. Teh kurang manis dan roti bakar menjadi menu rutinnya. Selepas keletihan berhadapan dengan tekanan kerja, restoran tersebut menjadi ruang untuknya berhenti sebentar daripada kesibukan kehidupan.

Pengarang turut memasukkan unsur mimpi sebagai satu teknik untuk membina saspens. Sewaktu duduk bersendirian, watak “aku” mula merasakan keadaan yang dilaluinya seperti sesuatu yang pernah hadir dalam mimpinya. Apabila lelaki yang tidak dikenalinya duduk bersama, perasaan itu muncul sekali lagi. Kemudian apabila dua orang wanita menumpang di mejanya, dia mendapati mereka juga pernah muncul dalam mimpi tersebut.

Malah pakaian yang dipakainya pada hari itu juga dikatakan sama dengan pakaian yang hadir dalam mimpinya. Unsur ini sebenarnya merupakan “umpan” yang menarik. Pembaca mula bertanya: Apakah yang telah dilihat oleh watak “aku” dalam mimpinya? Mengapakah orang-orang yang muncul dalam mimpi itu hadir dalam realitinya pada petang berkenaan? Apakah sesuatu akan berlaku? Adakah pertemuan tersebut merupakan suatu petanda? Mengapakah meja nombor tiga menjadi tempat mereka bertemu?

Persoalan-persoalan seperti inilah yang akan mengikat pembaca untuk terus mengikuti naratif. Malangnya, pengarang membuka pintu tersebut tetapi tidak membawa pembaca masuk lebih jauh ke dalamnya. Pengarang sekadar memberitahu bahawa kejadian pada petang itu pernah berlaku dalam mimpinya. Akibatnya, unsur mimpi yang sepatutnya menjadi kekuatan akhirnya menjadi sesuatu yang kabur.

Pengarang mungkin boleh membina satu fragmen mimpi pada bahagian awal cerpen. Tidak perlu terlalu panjang. Mungkin watak “aku” bermimpi duduk di meja nombor tiga. Ada seorang lelaki datang. Kemudian dua orang wanita. Selepas itu tiga lelaki berkot. Mungkin ada sesuatu yang aneh berlaku sebelum dia terjaga daripada tidur. Apabila semua manusia itu benar-benar muncul keesokan harinya, pembaca akan merasakan suatu keganjilan yang lebih kuat. Saspens lahir apabila pembaca mengetahui bahawa sesuatu mungkin berlaku tetapi mereka tidak tahu bila atau bagaimana perkara itu akan terjadi.

Ada sesuatu yang menarik pada pemilihan Restoran Mastura sebagai latar utama cerpen ini. Tanpa disengajakan, pengarang sebenarnya telah menghampiri suatu bentuk penceritaan yang sering digunakan dalam filem iaitu naratif mosaik atau interconnected stories. Beberapa cerita atau watak yang pada mulanya kelihatan tidak mempunyai hubungan dipertemukan oleh sebuah tempat, peristiwa atau keadaan yang sama sebelum hubungan tersebut sedikit demi sedikit menemukan maknanya.

Filem Malayalam Kerala Cafe, umpamanya, dibina daripada beberapa cerita yang berbeza tetapi semuanya disatukan oleh sebuah kafe. Kafe itu akhirnya tidak hanya berfungsi sebagai latar. Tempat tersebut menjadi simpul pertemuan manusia dengan pengalaman, keresahan dan perjalanan hidup masing-masing. Begitu juga dengan beberapa filem yang menjadikan restoran atau kafe sebagai sebuah mikrokosmos kehidupan: manusia datang daripada arah yang berbeza, bertemu sebentar dan kemudian meneruskan perjalanan masing-masing.

Potensi yang sama sudah ada dalam “Suatu Petang, Secawan Teh dan Sekeping Roti Bakar”. Pengarang membawa seorang lelaki yang tidak dikenali, dua orang wanita dan kemudian tiga orang ahli perniagaan ke meja yang sama. Meja nombor tiga seolah-olah menjadi pusat pertemuan mereka. Persoalannya: Mengapakah mereka dipertemukan di situ? Apakah hubungan antara mereka? Apakah kehadiran mereka hanya kebetulan?

Di sinilah pengarang masih mempunyai ruang yang sangat luas untuk memperkukuh cerpennya. Dalam bentuk sekarang, watak-watak tersebut datang secara berturutan tetapi kehidupan mereka belum benar-benar bersilang. Lelaki itu datang dan pergi. Dua wanita datang dan pergi. Tiga orang ahli perniagaan pula datang kemudian berbincang sesama mereka. Jikalau pengarang mampu mewujudkan satu benang halus yang menghubungkan mereka, cerpen ini akan memperoleh kesatuan yang jauh lebih kuat.

Tidak semestinya hubungan itu dinyatakan secara terang-terangan. Seorang daripada mereka mungkin mempunyai kaitan dengan syarikat tempat watak “aku” bekerja. Percakapan tiga ahli perniagaan mungkin tanpa sengaja menyentuh masalah pembekal yang menyebabkan watak “aku” tertekan.

Dua wanita mungkin menyebut sesuatu yang pernah didengar oleh watak “aku” dalam mimpinya. Pembaca kemudian akan mula menyusun serpihan-serpihan tersebut sehingga menyedari bahawa pertemuan pada petang itu bukan semata-mata kebetulan.

Dengan cara demikian, Restoran Mastura bukan lagi sekadar tempat watak minum teh dan menikmati roti bakar. Meja nombor tiga boleh berubah menjadi sebuah simpang kecil tempat beberapa perjalanan kehidupan bertemu. Dan di situlah sebuah cerita yang kelihatannya biasa boleh menjadi luar biasa.

Cerpen ini juga mempunyai persoalan yang dekat dengan kehidupan manusia moden iaitu tekanan pekerjaan. Watak “aku” keluar dari pejabat kerana mengalami tekanan setelah diberikan tugas baharu oleh majikannya, Tuan Haji Baha. Dia juga baru bertengkar dengan pembekal sehingga fikirannya terganggu.

Pertemuan dengan Balkish akhirnya memberikan sedikit ruang untuk dia meluahkan perasaan. Persoalan ini baik. Kadangkala manusia tidak memerlukan penyelesaian yang besar terhadap tekanan yang dihadapi. Mereka hanya memerlukan ruang untuk berhenti sebentar, secawan teh dan seseorang yang mahu mendengar. Balkish digambarkan sebagai sahabat yang mampu memainkan fungsi tersebut.

Hubungan antara tekanan kerja dengan pengalaman di restoran ini boleh diperkukuhkan. Mungkin “hikmah” yang dicari-cari oleh watak “aku” sebenarnya bukanlah sesuatu yang bersifat mistik. Hikmahnya mungkin mudah: Tuhan sedang memaksanya berhenti daripada kesibukan, duduk bersama manusia lain dan melihat bahawa kehidupan lebih luas daripada tugasan yang menyesakkan fikirannya. Jikalau demikian arah yang ingin dipilih oleh pengarang, pengakhiran cerpen perlu memberikan sedikit isyarat ke arah itu.

Sebaliknya, cerpen berakhir dengan watak “aku” masih memikirkan mimpinya dan mengatakan bahawa mungkin ada hikmah yang belum disedarinya. Pengakhiran terbuka memang dibenarkan dalam penulisan cerpen. Pengarang tidak semestinya menerangkan segala-galanya.

Namun pengakhiran terbuka berbeza dengan pengakhiran yang belum selesai. Pengakhiran terbuka memberikan ruang kepada pembaca membuat tafsiran berdasarkan petunjuk yang sudah diletakkan sepanjang cerita. Pembaca mungkin mempunyai dua atau tiga kemungkinan jawapan. Namun dalam cerpen ini, maklumat tentang mimpi terlalu sedikit sehingga pembaca tidak mempunyai bahan yang mencukupi untuk membuat tafsiran.

Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian ialah fungsi setiap peristiwa dalam cerpen. Lelaki yang tidak dikenali datang dan berbual dengan watak “aku”, kemudian dua orang wanita, selepas itu tiga orang ahli perniagaan: pengulangan pola ini menyebabkan plot bergerak secara mendatar.

Cerpen memerlukan perkembangan. Setiap peristiwa yang berlaku sepatutnya membawa pembaca semakin hampir kepada konflik, puncak atau penemuan tertentu. Kalau lelaki pertama mempunyai kaitan dengan mimpi, kehadirannya perlu meninggalkan sesuatu.

Mungkin perkataan yang diucapkannya pernah didengar dalam mimpi. Mungkin dia meninggalkan sesuatu di atas meja. Mungkin dua orang wanita selepas itu menyebut perkara yang sama. Kemudian tiga lelaki korporat melengkapkan suatu petunjuk. Dengan cara tersebut, semua pertemuan mempunyai fungsi. Dalam bentuk sekarang, beberapa watak hadir seperti manusia yang kebetulan menumpang meja semata-mata.

Pengarang perlu bertanya kepada dirinya sendiri sewaktu melakukan pengeditan: Jikalau tiga watak ini dibuang, adakah cerpen berubah? Jikalau jawapannya tidak, maka pengarang perlu memberikan fungsi kepada watak tersebut ataupun membuangnya.

Dari aspek perwatakan, watak “aku” mempunyai asas yang agak jelas. Dia pekerja pejabat, sedang tertekan, agak suka bersendirian tetapi masih mempunyai rasa simpati terhadap manusia lain. Dia membenarkan lelaki yang tidak dikenalinya duduk semeja walaupun berasa kurang selesa. Watak ini juga mempunyai sifat pemerhati.  Ciri ini sesuai dengan sudut pandangan orang pertama. Cuma pengarang perlu lebih disiplin mengekalkan sudut pandangan tersebut.

Pada beberapa bahagian, kata ganti orang pertama tiba-tiba bertukar seperti penceritaan orang ketiga. Umpamanya selepas Balkish menghantar pesanan ringkas, pengarang menulis bahawa deringan pesanan itu “mengganggu lamunannya”. Kemudian terdapat ayat seperti “Biarlah majikannya, Tuan Haji Baha mencarinya” dan “Lamunannya terganggu, apabila dia disapa oleh seseorang yang tidak dikenali.” Siapakah “dia” dan “-nya” itu? Sedangkan watak yang sedang bercerita ialah “aku”.

Sepatutnya konsistensi sudut pandangan dijaga:

“Aku tersentak daripada lamunan apabila seseorang yang tidak dikenali menyapaku.”

Kesilapan seperti ini nampak kecil tetapi boleh mengganggu hubungan pembaca dengan pencerita. Dalam sudut pandangan orang pertama, pembaca seperti berada di dalam kepala watak “aku”. Pertukaran secara tiba-tiba kepada “dia” menyebabkan jarak penceritaan berubah.

Aspek bahasa merupakan perkara lain yang sangat perlu diberikan perhatian oleh pengarang. Pengarang mempunyai kecenderungan menggunakan bahasa percakapan yang santai. Hal ini sesuai dengan suasana restoran dan hubungan antara watak “aku” dengan Balkish.

Dialog seperti “Patutlah aku cari, kat sini rupanya sahabat aku ni” mampu memberikan gambaran hubungan yang akrab antara mereka. Namun bahasa dialog dengan bahasa naratif perlu dibezakan. Bahasa pertuturan seperti “kat”, “tak”, “nak”, “macam” atau “dah” boleh digunakan dalam dialog kerana mencerminkan percakapan watak.

Akan tetapi bahagian naratif sebaik-baiknya menggunakan bahasa yang lebih teratur dan gramatis. Masih terdapat beberapa kesalahan asas yang sepatutnya dapat diperbaiki melalui proses penyuntingan. Umpamanya “dipejabat” perlu ditulis “di pejabat”; “diluar” menjadi “di luar”; “sekali sekala” menjadi “sekali-sekala”; “luarbiasa” menjadi “luar biasa”; manakala “menganggu” perlu menjadi “mengganggu”.

Tanda baca dalam dialog juga perlu diberikan perhatian. Perhatikan ayat:

“Cik makan sekali, saya suka canai ni dan kuah kacang dal” kata lelaki itu lagi.

Tanda koma sepatutnya hadir sebelum penutup kata:

“Cik makan sekali, saya suka canai ini dan kuah kacang dal,” kata lelaki itu lagi.

Masalah seperti ini berlaku beberapa kali dan perlu dibersihkan sebelum karya dihantar untuk penerbitan.

Selain itu, pengarang perlu mengurangkan pengulangan frasa yang tidak diperlukan. Frasa seperti “aku”, “kami berdua”, “kami berdua Balkish”, “restoran ini” dan “petang itu” muncul dengan agak kerap sehingga ritma bahasa menjadi sedikit berat. Ayat juga boleh dipadatkan. Umpamanya:

Kami berdua memang tidak sedar akan jam untuk pulang ke pejabat. Seronok benar berbual di luar, kalau di pejabat tak dapatlah, masing-masing sibuk dengan kerja.

Boleh diperhalus menjadi:

“Tanpa sedar, waktu terus berlalu. Di pejabat, kesempatan berbual begini jarang kami peroleh kerana masing-masing tenggelam dalam pekerjaan.”

Maknanya masih sama, tetapi naratif menjadi lebih lancar.

Walau bagaimanapun, Dayang Mary Marlini mempunyai sesuatu yang penting dalam penulisan kreatif iaitu keupayaan melihat cerita daripada kehidupan biasa. Tidak semua penulis mampu berbuat demikian. Ada penulis mencari peristiwa luar biasa sehingga terlupa bahawa manusia yang sedang duduk di meja sebelah pun mungkin membawa seribu cerita.

Begitu juga dengan tajuk “Suatu Petang, Secawan Teh dan Sekeping Roti Bakar”. Tajuk ini mempunyai kelembutan dan daya tarikannya sendiri. Ada sesuatu yang nostalgik dan sederhana pada tajuk tersebut. Cuma secawan teh dan sekeping roti bakar yang disebut pada tajuk perlu membawa makna lebih besar dalam cerpen. Mengapa teh? Mengapa roti bakar?

Adakah kedua-duanya lambang waktu rehat daripada kehidupan yang meletihkan? Adakah secawan teh itu menjadi saksi pertemuan dengan manusia-manusia yang pernah muncul dalam mimpi? Jikalau sesuatu diletakkan pada tajuk, pembaca secara tidak langsung akan menganggapnya mempunyai kepentingan tertentu.

Pengarang sudah mempunyai bahan asas yang baik: seorang wanita yang tertekan dengan pekerjaan, sebuah restoran, seorang sahabat, sekumpulan manusia asing, sebuah meja dan mimpi yang seperti menjadi kenyataan. Semua ramuan itu sudah tersedia.

Yang perlu dilakukan sekarang ialah merapatkan hubungan antara satu ramuan dengan ramuan yang lain. Tekanan pekerjaan perlu berkait dengan pertemuan di restoran. Pertemuan dengan orang asing perlu berkait dengan mimpi. Mimpi pula perlu membawa watak kepada suatu kesedaran. Kesedaran itulah yang akhirnya memberikan makna kepada judul dan keseluruhan cerita. Apabila hubungan sebab dan akibat itu menjadi rapat, cerpen tidak lagi sekadar mencatat apa yang berlaku pada suatu petang tetapi membawa pembaca memahami mengapa petang tersebut penting dalam kehidupan watak “aku”.

Menulis cerpen sebenarnya seperti menyediakan secawan teh. Airnya mungkin sama. Daunnya mungkin sama. Tetapi sukatan, suhu dan masa menentukan rasanya.

Dayang Mary Marlini sudah mempunyai bahan untuk menghasilkan cerita yang menarik. Pengarang hanya perlu lebih berani mengembangkan unsur mimpi, memperkuat konflik, menajamkan fungsi setiap watak, membuang pengulangan yang tidak diperlukan serta melakukan penyuntingan bahasa dengan lebih teliti.

Mungkin hikmah yang masih belum ditemukan oleh watak “aku” pada penghujung cerpen itu juga merupakan hikmah kepada pengarang sendiri. Cerita ini belum sampai ke destinasi akhirnya. Namun jalannya sudah ditemukan. Teruskan perjalanan itu sehingga suatu petang, secawan teh dan sekeping roti bakar tidak lagi menjadi sesuatu yang biasa tetapi meninggalkan rasa yang lama dalam ingatan pembaca.

Oleh Abang Median Abang Said

Pemilihan Kata yang Menjadi dalam Sajak

APABILA memperkatakan sajak, fokus utamanya tentu sahaja tentang pemilihan kata. Walaupun tema menjadi asas pemikiran sesebuah sajak dilahirkan, pemilihan kata

Puisi

Pelangi Malaysia, Warna Perpaduan Sesudah hujan darah reda di dada sejarah, pelangi terbit di langit merdeka. merahnya nyala semangat wira,