PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menghadiri Majlis Kesyukuran Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Sarawak Tahun 2026 di Masjid Jamek Negeri Sarawak, hari ini.
Menurut laman Facebook rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama anakanda beliau, Dayang Norjihan serta dif-dif kenamaan lain.
Ketibaan Tun Pehin Sri Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah sekitar 6.30 petang disambut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia 2026, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki.
Majlis dimulakan dengan solat fardu Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Yasin, zikir marhaban dan doa kesyukuran yang dipimpin Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadillah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Majlis kemudian diteruskan dengan solat fardu Isyak berjemaah sebelum jamuan makan malam bersama barisan menteri, dif-dif kenamaan bukan beragama Islam serta pasangan masing-masing.
Hadir sama Menteri-Menteri kerajaan Sarawak, Setiausaha Kerajaan, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Yang Dipertua Majlis Islam, Datuk Misnu Taha, ketua-ketua jabatan serta masyarakat setempat.




