PVTLDMS perkukuh jaringan kebajikan veteran TLDM Sarawak

Facebook
WhatsApp
KUNJUNGAN hormat PVTLDMS terhadap Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw di Pejabat JHEV ATM Cawangan Sarawak, di Kuching, semalam. Foto PVTLDMS

KUCHING: Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia Sarawak (PVTLDMS) terus memperkukuh peranannya dalam menjaga kebajikan serta memperjuangkan kepentingan warga veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di negeri ini.

Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat PVTLDMS terhadap Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Cawangan Sarawak, di sini, semalam.

Kunjungan tersebut menjadi platform bagi mempererat hubungan kerjasama antara PVTLDMS dan JHEV ATM Sarawak, selain membincangkan kebajikan, keperluan serta aspirasi warga veteran TLDM di Sarawak.

Presiden PVTLDMS, Komander TLDM (B) Sudin Wa berkata, persatuan itu berperanan sebagai wadah rasmi yang mewakili veteran TLDM di Sarawak, selain menjadi penghubung dalam menyalurkan maklumat berkaitan kebajikan dan tuntutan veteran kepada pihak berkaitan.

Menurutnya, PVTLDMS yang telah didaftarkan sebagai pertubuhan sah di bawah JHEV ATM itu telah beroperasi sejak 2019 dengan komitmen untuk memastikan kebajikan veteran sentiasa diberi perhatian.

“PVTLDMS komited untuk memastikan kebajikan warga veteran TLDM sentiasa diberi perhatian melalui pelbagai inisiatif termasuk lawatan kebajikan, aktiviti kemasyarakatan, program sukan, keagamaan serta usaha memperkukuhkan hubungan dengan pihak TLDM dan rakan strategik lain di Sarawak,” katanya.

Bagi sesi kepimpinan 2026 hingga 2029, PVTLDMS diterajui Sudin sebagai Presiden, dibantu Timbalan Presiden Pegawai Waran (PW) 1 (B) Hanis Chong, Naib Presiden 1 PW II (B) Kundai Dugi dan Naib Presiden 2 PW II (B) Adam James Taiyai.

Persatuan itu turut mempunyai pelbagai biro utama termasuk Biro Istiadat dan Protokol, Biro Kebajikan, Biro Sukan serta Biro Promosi dan Penyelidikan dan Pembangunan (RnD), selain 12 Ketua Zon yang mewakili bahagian dan daerah di Sarawak.

Dalam usaha memperkukuh semangat kebersamaan, PVTLDMS turut memberi perhatian kepada keperluan veteran melalui penglibatan Ahli Jawatankuasa Agama Islam dan Bukan Islam serta pelantikan tiga veteran sebagai Golden Sailor yang mewakili setiap generasi warga TLDM.

Sehingga September 2026, PVTLDMS mempunyai seramai 519 ahli terdiri daripada veteran TLDM daripada pelbagai generasi di seluruh Sarawak.

Aspek kebajikan keluarga veteran turut menjadi keutamaan apabila persatuan mengekalkan rekod pemantauan terhadap 14 ahli yang telah meninggal dunia, selain memberi perhatian kepada 15 ahli yang sedang menerima rawatan di hospital menerusi lawatan dan pemantauan kebajikan secara berkala.

Sementara itu, Stephen mengucapkan tahniah kepada PVTLDMS atas komitmen dan usaha berterusan dalam memperjuangkan kebajikan warga veteran TLDM di Sarawak.

Beliau berharap kerjasama strategik antara JHEV ATM Cawangan Sarawak dan PVTLDMS dapat terus diperkukuhkan bagi memastikan kebajikan, keperluan serta kepentingan veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

Katanya, persatuan veteran memainkan peranan penting sebagai penghubung antara warga veteran dengan pihak berkaitan, khususnya dalam memastikan penyampaian maklumat, bantuan dan sokongan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Kunjungan hormat itu sekali gus memperlihatkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkasakan jaringan sokongan serta menghargai jasa dan pengorbanan warga veteran TLDM yang telah berbakti kepada negara.

Turut hadir bekas Pengarah JHEV ATM Sarawak, Kolonel (B) Dunging Serit.

Oleh Adi Safarman