Video gaduh tular, tiga lelaki ditahan

Facebook
WhatsApp
TULAR...Tangkap layar video pergaduhan yang berlaku di sebuah pusat hiburan di Marina Phase 2, Miri, yang tular di media sosial.

MIRI: Tiga lelaki tempatan ditahan dalam tempoh kira-kira sejam selepas polis mengesan video pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Marina Phase 2, di sini, yang tular di media sosial.

Ketiga-tiga suspek berusia 29, 32 dan 33 tahun itu ditahan secara berasingan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini pada 14 September lalu.

Menurut hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah mengesan video berdurasi tiga minit tujuh saat yang dimuat naik di media sosial kira-kira 5.00 petang.

Rakaman berkenaan memaparkan sekumpulan lelaki terbabit dalam pergaduhan di dalam pusat hiburan berkenaan.

Susulan penemuan video itu, laporan polis dibuat pada 5.54 petang hari sama sebelum siasatan dijalankan bagi mengesan individu yang dipercayai terbabit.

DITAHAN…Tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

“Hasil risikan dan tindakan pantas, dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun ditahan sekitar 9.50 malam, manakala seorang lagi suspek berusia 29 tahun ditahan sekitar 11.00 malam,” menurut hantaran itu hari ini.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai terbabit dalam pergaduhan seperti yang dirakam dalam video berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek direman selama dua hari sehingga 17 September ini bagi membantu siasatan,” menurut hantaran itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Oleh Liong Chai Ling