MUKAH: Peniaga di sini diingatkan untuk tidak menaikkan harga barang sewenang-wenangnya setelah kerajaan negeri mengumumkan pemberian bonus untuk kakitangan awam.
Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP Mukah) Salihin Den (gambar) berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap peniaga jika perkara itu berlaku.
“Bonus yang diberi oleh kerajaan Sarawak bukanlah satu tiket atau alasan bagi peniaga mengambil kesempatan untuk menaikan harga barang secara tidak munasabah.
“Pihak kami tidak akan berkompromi ke atas mana-mana peniaga yang didapati mengambil kesempatan di atas alasan ini, sama ada menjelang musim perayaan atau sebaliknya,” katanya.
Salihin berkata mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada peniaga yang culas.
“Pihak kami akan mengambil tindakan sekiranya ada aduan yang diterima berhubung ada peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.
“Justeru, kami mengalu-alukan orang ramai untuk membuat aduan sekiranya ada berlaku sebarang kenaikan harga barang secara tidak munasabah,” katanya hari ini.
Oleh Henry b Siyu