BIKF terus satukan komuniti layang-layang antarabangsa

Facebook
WhatsApp

BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) terus menjadi platform memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti layang-layang dari pelbagai negara sejak diperkenalkan hampir dua dekad lalu.

Penolong Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Mohd Ansari Mohd Syed Ahmad berkata, BIKF bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi wadah pertukaran budaya, pengalaman dan persahabatan dalam kalangan peserta antarabangsa.

WAKIL Peter Lynn Kite dari New Zealand, Craig Hansen berucap pada majlis makan malam perpisahan BIKF Ke-19 2026 di sebuah hotel di Bintulu semalam.

“BIKF bukan sekadar sebuah festival. Ia merupakan platform yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai negara melalui seni permainan layang-layang, di samping memperkenal Bintulu kepada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam perpisahan BIKF Ke-19 2026 di sebuah hotel di sini, semalam.

Mohd Ansari berkata, kejayaan penganjuran BIKF selama ini didorong oleh kerjasama erat pemain layang-layang, agensi kerajaan, penaja dan sukarelawan yang sentiasa memberikan komitmen dalam menjayakan festival berkenaan.

MOHD Ansari berucap pada majlis makan malam perpisahan BIKF Ke-19 2026 di sebuah hotel di Bintulu semalam.

Menurutnya, walaupun penganjuran tahun ini berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kos perjalanan dan keadaan cuaca yang tidak menentu, festival itu tetap berlangsung dengan jayanya hasil komitmen semua pihak.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dato Haidar Khan Asghar Khan; Pengurus Besar BDA merangkap Pengerusi Bersama BIKF Ke-19 2026, Datu Muhamad Yakup Kari; Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI), Dato Allan Keripin; Timbalan Pengurus Besar BDA, Abdul Rahim Abdullah; Pengurus (Keselamatan) yang mewakili Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA), Jefri Hashim; serta wakil Peter Lynn Kite dari New Zealand, Craig Hansen.

Oleh Carolyne Utih