LUNDU: Sarawak bakal memperkasa pintu sempadan Biawak sebagai saluran kerjasama ekonomi dengan Indonesia, khususnya Kalimantan, dalam usaha memperluas jaringan perniagaan rentas sempadan dan menghubungkannya dengan ekonomi ASEAN.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan taraf pintu sempadan berkenaan dijangka memberi impak kepada pembangunan ekonomi Sarawak menerusi pengukuhan hubungan perdagangan dengan Indonesia.
Katanya, beliau sebelum ini menerima kunjungan Pengerusi Dewan Perniagaan Indonesia yang menyatakan hasrat untuk mewujudkan rangkaian kerjasama ekonomi Borneo sebelum dihubungkan dengan ekonomi serantau ASEAN.
“Saya telah dikunjungi oleh Pengerusi Dewan Perniagaan Indonesia bersama rombongannya yang mahu menubuhkan rangkaian kerjasama ekonomi Borneo.
“Rangkaian Borneo ini akan dihubungkan dengan ekonomi rantau ASEAN. Ini merupakan peluang baharu dan peluang kerjasama yang akan mewujudkan pembangunan lebih menyeluruh dalam usaha melonjakkan ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Regata Batang Kayan di Tebingan Lundu, hari ini.
Abang Johari berkata, usaha memperkukuh hubungan dengan Indonesia turut disokong oleh peningkatan hubungan udara menerusi AirBorneo, termasuk penerbangan ke Jakarta yang dijangka bermula pada Oktober.
Katanya, perjalanan udara dari Kuching ke Jakarta hanya mengambil masa kira-kira satu jam 20 minit, sekali gus membuka peluang lebih besar untuk menarik kedatangan penduduk Indonesia ke Sarawak, termasuk ke kawasan Tanjung Datu.
“Jangan orang Tanjung Datu sahaja pergi Jakarta, orang Jakarta mesti datang ke Tanjung Datu,” katanya.
Menurutnya, peningkatan hubungan udara itu turut berpotensi menyokong perkembangan pelancongan kesihatan Sarawak susulan pembangunan beberapa hospital baharu di Kuching.

Dalam acara berkenaan, Landas Saga Sebuyau muncul juara selepas menamatkan perlumbaan Bidar 30 Pekayuh Lelaki dengan catatan masa 7 minit 28 saat, sekali gus dinobatkan sebagai Raja Sungai Batang Kayan.
Bujang Sigat menduduki tempat kedua dengan catatan 7 minit 33 saat, manakala Landas Cahaya Helang Taik berada di tempat ketiga selepas mencatat masa 7 minit 36 saat.
Tempat keempat menjadi milik Buraq Terbang dengan masa 7 minit 37 saat, manakala GP Cempaka Pantai Damai Bincadig melengkapkan lima peserta terbaik dengan catatan 7 minit 49 saat.
Oleh Shahrul Qaizat



